Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KKM Lulus RM1.8 Juta Perkukuh Fasiliti HSNI Batu Pahat

19/04/2026 01:20 PM

BATU PAHAT, 19 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan peruntukan khas RM1.8 juta bagi menaik taraf fasiliti di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini dalam usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat di daerah ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peruntukan itu melibatkan penambahan RM800,000 daripada jumlah asal, dengan fokus kepada kerja menaik taraf Balai Pelawat serta infrastruktur dan aset sedia ada di hospital berkenaan.

Beliau berkata peruntukan tersebut turut merangkumi perolehan aset perubatan dan bukan perubatan selain kerja menurap jalan di kawasan parkir hospital bagi meningkatkan keselesaan pesakit dan pelawat.

Ad Banner

“Fokus utama KKM adalah memastikan fasiliti kesihatan di peringkat akar umbi sentiasa ditambah baik seiring pembangunan semasa,” katanya menerusi hantaran di laman rasmi ‘X’ hari ini selepas mengakhiri lawatan kerja dua hari ke Batu Pahat, semalam.

Selain itu, beliau berkata sebanyak RM3.421 juta turut diperuntukkan bagi menaik taraf empat klinik kesihatan di daerah ini iaitu Klinik Kesihatan Parit Yaani, Klinik Kesihatan Seri Gading, Klinik Kesihatan Tongkang Pechah dan Klinik Kesihatan Parit Raja bagi memastikan agihan sumber kesihatan lebih saksama.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata kestabilan semasa negara membolehkan kerajaan mengurus ekonomi dengan baik meskipun berdepan cabaran krisis tenaga global, sekali gus memastikan pelaburan dalam sektor kesihatan dapat diteruskan demi manfaat rakyat.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke empat klinik kesihatan berkenaan sejak Jumaat sebelum meneruskan lawatan ke HSNI semalam.

HSNI yang mempunyai sejarah sejak 1894, kini beroperasi dengan kapasiti 610 katil bagi menampung keperluan lebih 500,000 penduduk di kawasan Batu Pahat, sekali gus menjadikannya antara hospital dengan beban pesakit tertinggi di Johor selepas Johor Bahru.

Perkhidmatan yang ditawarkan di hospital berkenaan termasuk perkhidmatan kecemasan, pediatrik, anestesiologi, ortopedik serta psikiatri dan kesihatan mental.

Sepanjang lawatan itu, beliau turut meninjau beberapa fasiliti utama termasuk tapak cadangan Unit Rawatan Harian, wad perubatan, Jabatan Kecemasan dan Jabatan Radiologi bagi menilai tahap kesiapsiagaan serta kualiti perkhidmatan kesihatan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor Ling Tian Soon, Ahli Parlimen Sri Gading Aminolhuda Hassan, Ahli Parlimen Batu Pahat Onn Abu Bakar, ADUN Penggaram Gan Peck Cheng serta Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor Dr Mohtar Pungut dan Pengarah HSNI Dr Fairoz Azlim Muslim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan