KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Ekspo kesedaran kesihatan mental “Lift But Not Leave” yang diadakan hari ini mengetengahkan keperluan bagi sistem sokongan komuniti yang lebih kukuh, terutamanya dalam kalangan remaja dan belia.
Pengerusi penganjur dan pengasas ekspo tersebut, Chua Qin Peng berkata kesihatan mental bukan hanya perlu dibincangkan selepas masalah timbul, terutamanya dalam kalangan belia dan profesional muda, malah melangkaui lebih daripada itu.
“Kami percaya bahawa kesedaran sahaja tidak mencukupi, (malah) tidak akan mencukupi. Kesedaran mesti membawa kepada tindakan, perbualan mesti sentiasa membawa kepada persefahaman, dan persefahaman mesti membawa kepada sokongan,” katanya dalam ucapan pembukaan pada acara tersebut yang diadakan di Universiti Malaya, di sini, hari ini.
Ekspo itu menghimpunkan pemimpin belia, kumpulan sokongan, organisasi dan orang awam untuk menggalakkan kesejahteraan mental melalui sesi penglibatan dan aktiviti yang didorong oleh komuniti.
Chua berkata belia bukan sahaja harus dilihat sebagai mereka yang mendapat manfaat daripada program kesihatan mental tetapi juga sebagai pembawa perubahan yang berpotensi dalam komuniti masing-masing.
"Mereka adalah rakan sekelas, rakan sekerja, rakan-rakan, sukarelawan dan pemimpin belia yang mungkin suatu hari nanti menjadi orang pertama yang akan dihubungi," katanya.
Chua berkata ekspo itu diadakan bertujuan untuk mewujudkan platform yang selamat kepada belia, organisasi dan kumpulan sokongan kesihatan mental untuk berhubung, belajar dan menyumbang kepada sistem sokongan yang lebih kukuh dalam komuniti.
Katanya, antara inisiatif utama di bawah program itu ialah pemberian subsidi kepada belia terpilih untuk menghadiri kursus pensijilan Pertolongan Cemas Kesihatan Mental di bawah Persatuan Kesihatan Mental Malaysia.
Selain itu, ekspo tersebut turut menampilkan sesi perkongsian, reruai advokasi, aktiviti perangkaian dan prorgam libat urus yang melibatkan organisasi belia dan rakan komuniti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial