Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perkukuh Agenda Inklusif, Selangor Lancar Dasar OKU Dan Pelan Tindakan 2026-2030

09/06/2026 09:05 PM

SHAH ALAM, 9 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor hari ini melancarkan Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor dan Pelan Tindakan 2026-2030 bagi mengukuhkan agenda inklusif termasuk memacu pembangunan holistik komuniti berkenaan di negeri itu yang kini mencecah 150,000 individu berdaftar.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari berkata pelaksanaan dasar komprehensif itu menandakan anjakan paradigma penting bagi Selangor yang kini beralih daripada pendekatan berasaskan kebajikan bersifat pasif kepada pendekatan hak, penyertaan aktif serta pemberdayaan menyeluruh.

"Langkah proaktif ini diambil bagi memastikan komuniti OKU diiktiraf sebagai rakan-rakan kongsi strategik yang setara dalam memacu pembangunan negeri meliputi pelbagai aspek.

Ad Banner
Ad Banner

"Dasar ini digubal berdasarkan acuan realiti dan data kajian lapangan melibatkan komuniti OKU, para penjaga, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan serta barisan ahli akademik," katanya selepas melancarkan dasar itu di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di sini.

Beliau berkata dokumen strategik itu turut dirangka secara khusus bagi menutup jurang yang wujud antara penggubalan dasar dan fasa pelaksanaan menerusi penekanan kepada beberapa fokus utama yang telah dikenal pasti.

Anfaal berkata pelaksanaan dasar itu dipandu secara berstruktur menerusi lima teras utama iaitu kesejahteraan hidup dan kesaksamaan sosial, pendidikan dan pembangunan sepanjang hayat, produktiviti dan pembangunan ekonomi, aksesibiliti dan reka bentuk sejagat (UD) serta tadbir urus dan advokasi OKU.

"Berteraskan maqasid syariah, ia turut memperkukuh akses perkhidmatan kesihatan, intervensi awal, sokongan kesihatan mental buat OKU serta para penjaga, kebolehpasaran ekonomi dan kemudahan ibadah yang inklusif.

"Bagaimanapun, apabila menyentuh peranan pihak berkuasa tempatan, saya memahami bahawa untuk pembangunan kawasan lama mungkin agak sukar tetapi kita boleh mulakan dengan perancangan pembangunan baharu," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya juga akan memutuskan mengenai pelbagai syarat wajib berhubung UD yang akan dimasukkan ke dalam perancangan pembangunan untuk dipatuhi oleh pemaju.

Sehubungan itu, Anfaal berkata ketegasan dalam pelaksanaan amat penting agar pelan tindakan itu dapat berfungsi sebagai instrumen perubahan sebenar dan bukan sekadar dokumen yang tersimpan semata-mata.

Beliau berkata kerajaan negeri komited memastikan aspek pelaksanaan, pemantauan dan penilaian dasar berjalan secara telus dengan mewajibkan setiap agensi kerajaan serta para pemegang taruh memainkan peranan secara berakauntabiliti sebagai langkah awal.

"Untuk itu, sebagai langkah susulan, kerajaan negeri menerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) telah memulakan inisiatif advokasi dan bengkel kesedaran bersama dengan jabatan perancang serta jurutera di peringkat pihak berkuasa tempatan bagi memperkemas pematuhan garis panduan sedia ada," katanya.

Terdahulu, Anfaal diiringi Pengerusi MTOS yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron menyerahkan peruntukan geran berjumlah RM90,000 kepada tiga penerima di bawah Program Inovasi Inklusif Selangor.

Beliau turut menyampaikan anugerah cemerlang kepada pelajar OKU bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2025, graduan Ijazah Sarjana Muda 2025 dan peserta Global IT Challenge yang berlangsung di Korea Selatan baru-baru ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan