KANGAR, 10 Jun (Bernama) -- Penguasaan ilmu dan penghayatan pedagogi yang berkesan serta budaya perkongsian ilmu dan kemahiran digital perlu terus diperkasa agar sistem pendidikan di negara ini kekal dinamik, relevan dan berdaya saing dalam menghadapi arus perubahan masa.
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah pada masa sama perhatian sewajarnya juga perlu diberikan kepada usaha meningkatkan pencapaian murid secara menyeluruh yang merangkumi aspek ilmu, kemahiran dan pembentukan nilai karamah insaniah.
Baginda bertitah pendidikan bukan hanya sekadar untuk mengejar kecemerlangan akademik tetapi merupakan wadah membentuk insan sejahtera yang beradab, berilmu, berdaya tahan, berkemahiran dan berkeyakinan seperti mana dihasratkan dalam Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035.
"Penuhilah minda generasi muda dengan ilmu yang bermanfaat, dan hiasilah peribadi mereka dengan akhlak serta budi pekerti yang luhur agar mereka mampu mencorakkan masa depan yang gemilang," titah baginda semasa berkenan merasmikan bangunan baharu Jabatan Pendidikan Perlis, di sini, hari ini.
Berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
Selain itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah isu literasi dan numerasi juga hendaklah terus ditangani secara berfokus agar setiap murid menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira sejak di bangku sekolah rendah.
Sementara itu, Raja Perlis bertitah bangunan baharu Jabatan Pendidikan negeri itu bukan sahaja menjadi mercu tanda baharu Perlis malah bakal berfungsi sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang memperkukuh usaha melahirkan generasi berpengetahuan, berkemahiran dan berfikiran kelas pertama.
"Saya yakin dan percaya dengan kemudahan yang lengkap dan moden ini akan menjadi wahana penting dalam memperkukuh pengurusan pendidikan, memperkasa profesionalisme guru serta melonjakkan kecemerlangan murid," titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah baginda juga berharap Jabatan Pendidikan Perlis dan seluruh institusi pendidikan terus memperkukuh jaringan kerjasama dengan pelbagai rakan strategik daripada sektor kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi dan komuniti.
"Sinergi yang terjalin akan membuka lebih banyak ruang kepada perkongsian kepakaran, inovasi dan peluang yang dapat memperkasa mutu pendidikan negeri ini," titah baginda.
Pada majlis perasmian itu, Raja Perlis turut berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah Tokoh Guru Negeri Perlis 2026 kepada Mustaffa Ibrahim dan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2026 kepada Izmi Ismail.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial