Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

CERMAT MADANI Sokong Penetapan Harga Insurans, Takaful Motor Berasaskan Risiko - MTA

10/06/2026 08:29 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Inisiatif CERMAT MADANI boleh menjadi batu loncatan ke arah rangka kerja penetapan harga insurans dan takaful motor berasaskan risiko yang lebih komprehensif, iaitu pemanduan yang lebih selamat diberi ganjaran premium serta caruman yang lebih rendah.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia (MTA) Mohd Radzuan Mohamed berkata inisiatif itu melangkaui sekadar menawarkan diskaun dengan menggalakkan tingkah laku pemanduan yang lebih selamat menerusi penggunaan rekod kesalahan lalu lintas, dan berpotensi menggunakan data telematik pada masa akan datang. 

Inisiatif itu adalah selaras dengan liberalisasi penetapan harga insurans motor dan takaful secara beransur-ansur, yang membolehkan pengendali memiliki lebih fleksibiliti dalam menentukan premium serta caruman berdasarkan profil risiko individu. 

Ad Banner
Ad Banner

“Jika rangka kerja penetapan harga berdasarkan risiko ini dilaksanakan, dengan mengambil kira bukan sahaja umur dan jenis kenderaan tetapi juga tingkah laku pemanduan, kesemua faktor ini mungkin akan ditunjukkan dalam premium yang dikenakan,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman Prestasi Industri Takaful 2025 di sini hari ini.  

Mohd Radzuan berkata persatuan itu akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk menyokong pelaksanaan program tersebut dan menggalakkan penyertaan lebih meluas daripada pengendali insurans serta takaful. 

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa pemandu yang mengamalkan pemanduan selamat dan memperbaharui insurans menerusi aplikasi MYJPJ boleh menikmati rebat premium sehingga 10 peratus menerusi inisiatif CERMAT MADANI.

Sementara itu, syarikat insurans yang mengambil bahagian akan menggunakan skor risiko yang dijana menerusi sistem kecerdasan buatan (AI) berdasarkan data rekod pemandu dalam sistem MySikap untuk membantu proses penilaian premium. 

Mohd Radzuan berkata industri takaful sedang bersedia bagi pelaksanaan ujian rintis pelan asas Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) pada separuh kedua 2026.

Katanya, industri dan penanggung insurans hayat telah bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi pelbagai pasukan petugas dan kumpulan kerja untuk membangunkan produk tersebut.

Beliau berkata butiran lanjut mengenai rangka kerja pelaksanaan itu dijangka dikongsi oleh BNM pada sesi dialog awam akan datang, bagi memberi penjelasan mengenai fasa ujian rintis selama enam bulan yang berlangsung sehingga 31 Disember 2026. 

Mohd Radzuan berkata pada peringkat ini persepsi orang ramai mengenai inisiatif itu masih terhad disebabkan proses pembangunannya yang sulit dan kekurangan maklumat yang tersedia untuk orang ramai.

“Sehingga itu, pemahaman kita masih terhad. Walaupun terdapat pelbagai persepsi, ia mungkin tidak tepat berikutan maklumat yang tidak mencukupi daripada kedua-dua orang ramai dan industri,” katanya. 

Tambah Mohd Radzuan, memandangkan pengendali sedang menunggu pengesahan penyertaan dalam fasa ujian rintis itu, kesemua pemain insurans dan takaful telah dijemput mengemukakan minat mereka untuk menyertainya. 

“Kita perlu bersedia kerana itulah aspirasi. Itulah matlamatnya, dan kita perlu memastikan bahawa kita berada di platform itu,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan