DUNIA > BERITA

LOKE KETUAI DELEGASI KE CHINA UNTUK ULANGTAHUN KE-50 HUBUNGAN DIPLOMATIK

05/06/2024 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke akan mengetuai delegasi melawat Hong Kong dan China dari 6 hingga 9 Jun ini sempena ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Menurut Kementerian Pengangkutan, beliau akan menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Rasmi Ke-50 yang dianjurkan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong pada Khamis malam.

Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR), John Lee Ka-Chiu akan hadir sebagai Tetamu Kehormat.

Pada hari berikutnya, menteri dijadualkan membuat kunjungan hormat kepada kepimpinan Wilayah Hunan, China sebelum menghadiri majlis perasmian Tren Elektrik baharu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) (ETS3) di kilang pembuatan China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) Zhuzhou Locomotive Co. Ltd (CRRC) di Zhuzhou, Hunan.

“Bermula awal 2025, 10 set tren enam koc baharu akan dilancarkan secara berperingkat untuk meningkatkan kapasiti perkhidmatan tren elektrik KTMB dari Johor Bahru ke Padang Besar,” menurut kementerian dalam satu kenyataan.

Kementerian Pengangkutan berkata menteri dan delegasi akan melawat Zon Ekonomi Lapangan Terbang Zhengzhou di wilayah Henan dari 8 hingga 9 Jun untuk membentuk perkongsian baharu bagi masa depan perniagaan kargo udara bernilai tinggi di Malaysia dan China.

Menurut kementerian, semasa lawatan itu Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk projek  Air Silk Road Malaysia-China Feight Hub dengan syarikat Zhongyu Aviation (Henan) Co. Ltd.

“Berpandukan prinsip perkongsian yang saling menguntungkan, Malaysia komited untuk terus memperkukuh dan memperdalam hubungan istimewa dengan China dalam semua sektor pengangkutan,” katanya.

Ia juga menyatakan bahawa lawatan kerja itu bertujuan untuk meningkatkan pelaburan bagi meningkatkan kesalinghubungan dan memajukan pembinaan hubungan lebih erat antara ASEAN dan China.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan