DUNIA > BERITA

SEKUTU SOKONG MODI UNTUK PENGGAL KETIGA SEBAGAI PM INDIA

06/06/2024 12:42 PM

NEW DELHI, 6 Jun (Bernama) -- Sekutu pilihan raya Perdana Menteri India, Narendra Modi, telah menyokong beliau untuk memegang jawatan itu bagi penggal lima tahun lagi.

Parti pemerintah Bharatiya Janata Party (BJP) pimpinan Modi mempunyai 240 kerusi di dewan rendah parlimen baharu yang mempunyai 543 ahli yang dipilih.

Walaupun tanpa majoriti mudah, parti itu mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu bersama sekutunya dalam Perikatan Demokratik Nasional (NDA).

Ketua Telugu Desam Party (TDP) Chandrababu Naidu berkata semua rakan dalam gabungan NDA sebulat suara menyokong Modi sebagai pemimpin pakatan itu semasa mesyuarat yang diadakan di New Delhi pada Rabu.

Seorang lagi tokoh berpengaruh dalam gabungan itu ialah Ketua Menteri Bihar, Nitish Kumar.

"Berjumpa dengan rakan NDA yang dihargai. Gabungan kami adalah pakatan yang akan meneruskan kemajuan negara dan memenuhi aspirasi serantau," kata Modi dalam satu hantaran di media sosial.

Perdana Menteri bertemu Presiden Droupadi Murmu pada Rabu dan mengemukakan peletakan jawatannya.

Presiden menerima peletakan jawatan itu dan meminta beliau meneruskan tugasnya sehingga kerajaan baharu mengambil alih.

Menurut laporan media India, Modi dijangka mengangkat sumpah bagi penggal ketiga berturut-turut pada Sabtu ini.

Pemimpin tertinggi dari Bangladesh, Sri Lanka, Bhutan, Nepal dan Mauritius dijangka menghadiri majlis tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan