DUNIA > BERITA

ARKIB NEGARA KEKAL PELIHARA BIDIKAN SEJARAH HUBUNGAN MALAYSIA-CHINA

16/06/2024 02:22 PM

Oleh Amirul Mohd Sajadi

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Bak kata pepatah, sekeping gambar membawa seribu erti dan kata.

Pertemuan empat mata antara Bapa Pembangunan Malaysia Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Pengerusi Mao Tse-tung (Mao Zedong) di Great Hall of the People di Peking (nama lama bagi bandaraya Beijing), China pada 1974 menjadi detik bersejarah buat kedua-dua negara.

Perdana menteri kedua pada ketika itu mengenakan pakaian sut hitam, kemeja putih serta bertali leher gelap berjabat salam dengan Pengerusi China Mao Tse-tung (Mao Zedong) yang memakai jaket tunik kelabu dalam pertemuan selama sejam setengah di dewan itu.

Walaupun sekadar sekeping gambar berjabat salam, namun cukup melakar sejarah ikonik tersendiri kerana telah menjadi episod penting dalam geopolitik di Asia Tenggara yang sekali gus merubah politik antarabangsa dan cara menangani  ideologi Komunis di era Perang Dingin.

Biarpun momen bersejarah itu telah berlaku separuh abad lalu, iaitu pada 31 Mei 1974, namun Arkib Negara masih menyimpan rapi setiap gambar serta dokumen penting rentetan daripada peristiwa bersejarah itu.

Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata usaha memulihara khazanah negara ini amat penting bagi generasi akan datang.

“Hubungan diplomatik Malaysia dan China yang memasuki usia jubli emas ini merupakan satu yang istimewa kerana Malaysia merupakan negara ASEAN pertama untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan republik itu.

“Kerana ketika itu masyarakat antarabangsa agak meragui negara yang berfahaman Komunis itu, namun dengan tindakan pragmatik Abdul Razak ia telah membuka suatu lembaran baharu buat negara dan serantau,” katanya kepada BERNAMA dalam satu temubual khas bersempena sambutan jubli emas hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Jaafar Sidek berkata foto Abdul Razak bersama Mao itu serta foto bersama Perdana Menteri China, Chou En Lai selepas menandatangani persetujuan menjalin hubungan diplomatik telah menghiasi kebanyakan dada akhbar kedua-dua negara dan media antarabangsa.

Gambar-gambar itu juga telah muncul semula khasnya sempena sambutan ulangtahun ke 50 hubungan diplomatik Malaysia-China tahun ini.

“Sambutan yang diterima Abdul Razak ketika itu amat meriah dan dapat dilihat China benar-benar menghargai usaha beliau itu.

“Di samping itu, selain foto, kita (Arkib) juga masih menyimpan dengan baik surat rasmi, teks ucapan dan video berkaitan lawatan pertama kali Abdul Razak ke negara itu,” katanya.

Pada penghujung musim bunga, 31 Mei 1974, bendera kebangsaan China dan Malaysia berkibar di sepanjang jalan utama di Beijing, selepas Kenyataan Bersama dimeterai oleh Abdul Razak dan En Lai.

Bertitik tolak daripada permulaan hubungan itu, Abdul Razak berjaya meredakan pengaruh Komunis di Malaysia yang seterusnya membolehkan beliau memfokuskan kepada pembangunan negara.

“Ancaman Komunis Malaya pada ketika itu amat meruncing, jadi apabila kerjasama ini termeterai, ia satu batu loncatan bagi Abdul Razak untuk merangsang pembangunan negara.

Sementara itu, beliau berkata, Arkib Negara mempunyai keseluruhan koleksi Abdul Razak melebihi 4,000 bahan.

Jaafar Sidek berkata Arkib Negara sentiasa memastikan setiap proses sejarah yang berlaku di negara ini akan terus didokumentasikan.

“Pengumpulan bahan ini penting bagi memudahkan masyarakat dan pengkaji memahami jerih perih yang dilalui pemimpin negara dalam meletakkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya.

Lebih daripada 10 juta bahan dalam bentuk muka surat meliputi dokumen dan foto telah direkodkan dalam bentuk digital.

Pendigitalan ini penting dalam usaha memulihara khazanah selain memberi ruang dan peluang untuk menyebar luaskan maklumat, serta sebagai platform bagi penyelidik mendapatkan maklumat mengenai perkara-perkara berkaitan sejarah secara terus di hujung jari.

Beliau berkata Arkib Negara turut merangka strategi bagi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan augmented reality (AR) sebagai langkah menarik lebih ramai generasi muda memahami sejarah negara.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan