DUNIA > BERITA

RATUSAN RIBU PEMINAT ENGLAND MENUJU JERMAN UNTUK EURO

16/06/2024 06:14 PM

LONDON, 16 Jun (Bernama-PA Media/dpa) -- Ratusan ribu peminat England dijangka berkunjung ke Jerman sepanjang kejohanan Euro 2024 pada musim panas ini ketika pasukan kebangsaan itu bersiap sedia untuk memulakan kejohanan mereka menentang Serbia pada malam Ahad.

Kapten England, Harry Kane menetapkan harapan tinggi untuk pasukannya, dengan mengatakan mereka akan kecewa dengan “apa-apa selain daripada memenangi” kejohanan itu.

Ribuan peminat akan menuju ke Gelsenkirchen di barat Jerman untuk menyokong pasukan kebangsaan dalam perlawanan peringkat Kumpulan C pertama mereka.

Jurulatih England, Gareth Southgate menggesa penyokong England untuk menikmati masa mereka di Jerman walaupun polis tempatan melabelkan perlawanan pembukaan Ahad menentang Serbia sebagai "berisiko tinggi" berikutan laporan awal minggu ini mengenai ultras Serbia yang menuju ke kawasan itu.

Putera William akan menyertai peminat yang berkunjung ke Frankfurt Arena pada 20 Jun - sehari sebelum ulang tahun ke-42 beliau - untuk menyaksikan pasukan Gareth Southgate bertembung dengan Denmark dalam perlawanan kedua mereka.

Scotland juga layak ke kejohanan itu, dengan puluhan ribu anggota Tartan Army dijangka telah melakukan perjalanan ke Jerman untuk menyokong pasukan mereka menentang negara tuan rumah pada Jumaat.

Pejabat Luar Britain berkata sehingga 500,000 penyokong British dijangka akan berkunjung untuk menyokong pasukan mereka sepanjang kejohanan, lapor PA Media.

Pemain tengah Scotland, Callum McGregor mengakui pasukan lawan mereka akan "memanfaatkan kelemahan" pasukan itu selepas kekalahan 5-1 di tangan Jerman dalam perlawanan pembukaan mereka yang menjejaskan suasana prapermainan “fenomenal" yang digambarkan oleh Menteri Pertama atau Ketua Menteri John Swinney, yang menyertai peminat di Munich.

Di UK, pasar raya mengatakan mereka bersedia untuk tempoh paling sibuk dalam tahun ini ketika peminat bola sepak menyimpan stok peti sejuk untuk menonton perlawanan dari rumah.

Peruncit British, Tesco berkata mereka menjangka menjual 33 juta pek bir dan cider sepanjang bulan akan datang tetapi juga meramalkan akan menjual 5.5 juta botol dan tin pilihan alkohol "tidak" dan "rendah" -rekod untuk kejohanan bola sepak utama.

Jualan wain dijangka melebihi 30 juta botol, bersama lebih daripada 11 juta pai dan lebih 90,000 pek bunting.

Bagaimanapun, polis di UK telah memberi amaran bahawa minum berlebihan semasa kejohanan mungkin menyumbang kepada peningkatan potensi dalam keganasan rumah tangga.

Majlis Ketua Polis Kebangsaan berkata kajian dari Universiti Lancaster mendapati terdapat peningkatan 38 peratus dalam insiden keganasan rumah tangga apabila England kalah dalam perlawanan antara 2002 dan 2010 dan peningkatan 26 peratus apabila mereka menang.

Badan amal bantuan wanita, Solace dan Pusat Kebangsaan untuk Keganasan Rumah Tangga telah mencipta kit alternatif England - "Jersi 38" - untuk meningkatkan kesedaran tentang sokongan yang tersedia kepada sesiapa yang mengalami keganasan rumah tangga sebagai sebahagian daripada kempen "No More Injury Time" menjelang Euro.

-- BERNAMA-dpa

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan