DUNIA > BERITA

CYRIL RAMAPHOSA ANGKAT SUMPAH PRESIDEN AFRIKA SELATAN BAGI PENGGAL KEDUA

19/06/2024 10:37 PM

PRETORIA, 19 Jun (Bernama-Anadolu) -- Presiden ketujuh Afrika Selatan yang dipilih secara demokrasi, Cyril Ramaphosa secara rasmi mengangkat sumpah untuk penggal kedua pada Rabu selepas beliau dipilih semula oleh parlimen Jumaat lepas, lapor Agensi Anadolu (AA).

Ketua Hakim Negara, Raymond Zondo mentadbirkan upacara mengangkat sumpah dalam satu majlis berwarna-warni yang dihadiri beberapa ketua negara dan kerajaan di ibu negara Pretoria.

"Saya, Matamela Cyril Ramaphosa, bersumpah bahawa saya akan setia kepada Republik Afrika Selatan," kata pemimpin berusia 71 tahun itu dalam sumpah jawatannya.

Zondo mengucapkan tahniah kepada Ramaphosa dan memperkenalkan beliau kepada hadirin selepas menandatangani watikah pelantikan, dengan menyatakan bahawa presiden yang baru dipilih kini telah dilantik dengan sah. 

Doa pelbagai agama diadakan sebelum upacara angkat sumpah dengan pemimpin agama berdoa untuk presiden yang akan datang dan kerajaan perpaduan nasional.

Ahli Parlimen Afrika Selatan memilih semula Cyril Ramaphosa sebagai presiden untuk penggal kedua semasa persidangan pertama badan perundangan.

Ramaphosa, pemimpin parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC), menerima 283 undi, menewaskan Julius Malema dari parti Pejuang Kebebasan Ekonomi yang memperoleh 44 undi.

ANC yang pernah dipimpin oleh ikon global Nelson Mandela, mendominasi politik Afrika Selatan selama tiga dekad sebelum kehilangan majoriti dalam pilihan raya nasional pada 29 Mei.

ANC mempunyai 159 Ahli Parlimen dalam Dewan Negara yang mempunyai 400 kerusi, menjadikan sukar untuk parti itu membentuk kerajaan sendiri dan mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan nasional.

Parti itu mencapai perjanjian untuk membentuk kerajaan perpaduan nasional dengan Perikatan Demokrasi (PA), Perikatan Patriotik (PA), Parti Inkatha Freedom dan Good Party.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan