DUNIA > BERITA

PUTIN UCAP TERIMA KASIH KEPADA KIM JONG UN ATAS SAMBUTAN MESRA

24/06/2024 05:21 PM

MOSCOW, 24 Jun (Bernama-Sputnik) -- Presiden Rusia Vladimir Putin menerusi kiriman Telegram kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, menzahirkan penghargaan atas sambutan dan layanan mesra yang diterima semasa lawatannya ke negara itu baru-baru ini, lapor Sputnik.

"Saya ingin menyampaikan penghargaan kepada anda atas sambutan luar biasa dan layanan mesra kepada saya dan delegasi Rusia semasa kami berada di Korea Utara. Lawatan ini amat bermakna.

“Ia telah membawa hubungan antara Moscow dan Pyongyang ke tahap tinggi yang belum pernah dicapai menerusi perkongsian strategik komprehensif.

“Mulai sekarang, peluang baharu terbuka untuk kerjasama yang lebih bermanfaat antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang," kata Putin menerusi aplikasi Telegram yang diterbitkan oleh Kremlin.

Presiden itu berkata beliau berhasrat ingin meneruskan dialog yang konstruktif dan kerjasama sambil menambah bahawa pemimpin Korea Utara itu sentiasa dialu-alukan sebagai tetamu kehormat di Rusia.

Putin tiba di Pyongyang pada 18 Jun untuk lawatan dua hari dan kedua-dua pemimpin itu menandatangani perjanjian mengenai perkongsian strategik komprehensif.

Perjanjian itu termasuk ikrar untuk saling memberi bantuan ketenteraan dan lain-lain jika satu daripada negara itu diserang.

-- BERNAMA-SPUTNIK

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan