DUNIA > BERITA

KADAR PERCERAIAN MENINGKAT DI PAPUA SELATAN DIDORONG PERJUDIAN DALAM TALIAN DAN MASALAH EKONOMI

25/06/2024 05:36 PM

JAKARTA, 25 Jun (Bernama) -- Kadar perceraian di wilayah Papua Selatan telah meningkat secara mendadak tahun ini, didorong terutamanya oleh tekanan ekonomi yang bertambah buruk dengan penglibatan dalam aktiviti perjudian dalam talian, menurut Mahkamah Agama Merauke.

Menurut jurucakap mahkamah itu, Muhammad Sobirin berkata terdapat 41 kes perceraian dan 152 permohonan cerai setakat ini, menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Masalah kewangan adalah faktor utama, mendorong ramai isteri untuk memulakan prosiding perceraian kerana suami mereka tidak dapat menyara keluarga dengan mencukupi,” katanya seperti yang dipetik oleh portal berita Papua Selatan Pos.

Beliau juga menyatakan bahawa isteri sering mengaitkan keputusan mereka dengan pengabaian tanggungjawab kewangan suami yang berkaitan dengan perjudian dalam talian semasa mengemukakan kes mereka di mahkamah.

Pasangan yang bercerai, biasanya berusia antara 23 hingga 50 tahun lazimnya sudah mempunyai anak, kata Muhammad Sobirin.

Kerajaan Indonesia sedang memperhebat usaha untuk menangani isu perjudian dalam talian yang semakin meningkat, melibatkan lebih 2.7 juta peserta di seluruh negara dan menjana perolehan sebanyak 327 trilion rupiah (kira-kira US$20 bilion) pada tahun 2023.

Sejak 17 Julai lepas, Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat telah menyekat 2.94 juta laman perjudian dalam talian.

Menteri Penyelaras Bidang Politik, Undang-undang dan Keamanan Hadi Tjahjanto telah ditugaskan untuk mengetuai satu pasukan petugas untuk membanteras masalah ini.

Kejadian baru-baru ini telah menonjolkan kesan meluas perjudian dalam talian, yang bukan sahaja menjejaskan individu berpendapatan rendah tetapi juga melibatkan anggota penguat kuasa undang-undang, termasuk polis dan tentera.

Pada 27 April, seorang pegawai tentera laut Indonesia berusia 31 tahun telah meninggal dunia akibat tembakan diri sendiri di sebuah pos komando taktikal di wilayah Pergunungan Papua.

Kematian beliau disyaki berkaitan dengan hutang yang besar berjumlah 819 juta rupiah (kira-kira US$57,400), yang diperoleh daripada perjudian dalam talian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan