DUNIA > BERITA

103 WARGA ASING DITAHAN DI BALI DISYAKI SALAH GUNA PERMIT IZIN TINGGAL

27/06/2024 07:39 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 27 Jun (Bernama) -- Pihak berkuasa imigresen Indonesia telah menahan 103 warga asing yang disyaki menyalahgunakan permit izin tinggal dan terlibat dalam jenayah siber semasa operasi penguatkuasaan di pulau percutian Bali, kata ketua pengarah Imigresen, Silmy Karim.

Operasi oleh Direktorat Pengawasan dan Penguatkuasaan Imigresen itu membawa kepada penahanan individu, termasuk 14 warga Taiwan, dengan identiti yang lain masih belum disahkan.

“Operasi pengawasan sedemikian adalah rutin di seluruh negara dan penting dalam memerangi jenayah yang dilakukan oleh warga asing, selaras dengan usaha membanteras judi dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pengarah Pengawasan dan Penguatkuasaan, Safar Muhammad Godam, menjelaskan bahawa operasi itu bermula pada 10 pagi waktu tempatan Rabu menyasarkan sebuah vila di mukim Marga, daerah Tabanan.

Menjelang 5 petang waktu tempatan, pihak berkuasa telah menahan 103 individu terdiri daripada 12 wanita dan 91 lelaki, yang disyaki tidak memiliki dokumen yang sah dan menyalahgunakan permit imigresen.

“Kami sedang menyiasat mereka untuk kemungkinan kaitan dengan jenayah siber berikutan penemuan banyak komputer dan telefon bimbit di lokasi,” kata Safar.

Semua warga asing yang ditahan bersama bukti yang dirampas akan menjalani pemeriksaan lanjut di Pusat Tahanan Imigresen Bali.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan