DUNIA > BERITA

RAHUL GANDHI KETUA PEMBANGKANG PARLIMEN INDIA

26/06/2024 11:47 AM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 26 Jun (Bernama) -- Ahli politik terkemuka, Rahul Gandhi akan menjadi ketua pembangkang parlimen India, jawatan penting yang akan membolehkannya mengawasi tindakan dan dasar kerajaan dengan lebih berkesan.

Sebuah parti mesti mempunyai sekurang-kurangnya 10 peratus daripada 543 kerusi Dewan Rakyat Lok Sabha untuk menuntut gelaran ketua pembangkang.

Parti Kongres pimpinan Rahul memenangi 99 kerusi dalam pilihan raya umum baru-baru ini manakala Parti Bharatiya Janata (BJP) muncul sebagai parti tunggal terbesar dengan meraih 240 kerusi.

Pengerusi Parti Parlimen Kongres, Sonia Gandhi telah menulis surat kepada speaker pro-tem Bhartruhari Mahtab, memaklumkan keputusan untuk melantik Rahul sebagai ketua pembangkang di Lok Sabha, kata Setiausaha Agung Kongres K.C. Venugopal kepada pemberita selepas mesyuarat pemimpin pembangkang di kediaman Presiden Kongres Mallikarjun Kharge pada petang Selasa.

"Dalam Lok Sabha ke-18, Dewan Rakyat akan benar-benar mencerminkan aspirasi orang yang paling akhir berdiri, dengan Rahul Gandhi menjadi suara mereka," kata Kharge.

Jawatan penting itu tidak diisi selepas pilihan raya 2014 dan 2019 kerana tiada parti yang mempunyai bilangan kerusi minimum yang diperlukan untuk menuntutnya.

Bagaimanapun, pembangkang yang bangkit semula, bersatu di bawah pakatan pelbagai parti yang dipimpin Kongres, Indian National Developmental Inclusive Alliance (INDIA), menghalang BJP daripada memperoleh majoriti mutlak dalam pilihan raya baru-baru ini.

Dengan blok INDIA menduduki 230 kerusi, kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi dijangka menghadapi cabaran di parlimen baharu.

Ahli parlimen mengangkat sumpah pada Isnin dan Selasa dengan bermulanya sesi pertama parlimen.

Rahul, 54, adalah ahli parlimen penggal kelima dan mewakili kawasan pilihan raya Raebareli.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan