DUNIA > BERITA

PM THAILAND TERIMA ANUGERAH PERKHIDMATAN PRESIDEN DARIPADA CLAREMONT GRADUATE UNIVERSITY

10/07/2024 12:28 AM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 9 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin pada Selasa menerima Anugerah Perkhidmatan Presiden daripada Claremont Graduate University,  satu daripada  institusi pengajian tinggi tertua di Amerika Syarikat, yang beliau merupakan seorang alumni.

Jurucakap Kerajaan Chai Wacharonke berkata anugerah ini mencerminkan komitmen Perdana Menteri untuk menegakkan hak asasi manusia, meningkatkan kualiti hidup dan maruah rakyat Thailand.

"Anugerah ini diberikan kepada alumni cemerlang yang telah memberikan sumbangan penting kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Chai berkata Perdana Menteri juga menegaskan komitmennya untuk terus meningkatkan kualiti hidup rakyat Thailand, khususnya dalam mempromosikan pendidikan supaya belia Thailand dapat mengakses pendidikan tinggi.

Beliau berkata Perdana Menteri adalah penyokong kuat hak asasi manusia dan telah membuat kemajuan yang ketara dalam mempromosikan hak asasi manusia di Thailand.

Terdahulu, Srettha menerima Anugerah Perkhidmatan Presiden daripada Presiden dan wakil Claremont Graduate University di Rumah Kerajaan di sini.

Claremont Graduate University adalah universiti siswazah swasta di Claremont, California, Amerika Syarikat dan Srettha lulus daripada universiti itu dengan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam pada tahun 1982.

Sementara itu, wakil Claremont Graduate University  Dr. Michelle Bligh, berkata adalah satu penghormatan untuk bertemu dengan Perdana Menteri Thailand, sambil menyatakan bahawa beliau gembira kerana seorang daripada siswazah universiti itu telah mencapai kedudukan tertinggi di Thailand.

Beliau berkata ini adalah satu inspirasi kepada pelajar Thailand semasa di Claremont Graduate University dan beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mencipta laluan ke masa hadapan dan melakukan kebaikan untuk orang lain.

Bligh juga yakin bahawa Srettha telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan antara Thailand dan Amerika Syarikat.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan