DUNIA > BERITA

GANGGUAN SIBER GLOBAL: BANYAK SYARIKAT PENERBANGAN, PERKHIDMATAN TERMINAL TERJEJAS

19/07/2024 06:08 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Gangguan siber global telah menjejaskan operasi syarikat penerbangan dan perkhidmatan terminal, menyebabkan kelewatan dan gangguan di seluruh dunia.

Lapangan Terbang Sydney di Australia melalui akaun X @SydneyAirport melaporkan bahawa gangguan teknikal global telah menjejaskan beberapa operasi syarikat penerbangan dan perkhidmatan terminal.

Lapangan terbang itu menyatakan bahawa penerbangan kini sedang tiba dan berlepas, tetapi memberi amaran mengenai kemungkinan kelewatan sepanjang malam.

"Kami telah mengaktifkan pelan kontingensi kami dan menempatkan kakitangan tambahan di terminal kami.

"Jika anda melancong hari ini, pastikan anda mempunyai masa yang mencukupi untuk datang ke lapangan terbang dan semak dengan syarikat penerbangan anda mengenai status penerbangan anda," katanya.

Lapangan Terbang Melbourne melalui akaun X @Melair melaporkan bahawa mereka mengalami isu teknologi global yang menjejaskan prosedur daftar masuk untuk beberapa syarikat penerbangan.

"Penumpang yang terbang dengan syarikat penerbangan ini pada petang ini dinasihatkan untuk membenarkan masa tambahan sedikit untuk daftar masuk. Sila semak dengan syarikat penerbangan anda untuk kemas kini penerbangan," katanya.

Hantaran di platform X @Schiphol Lapangan Terbang Amsterdam melaporkan kegagalan sistem global yang menjejaskan penerbangan ke dan dari Schiphol.

"Impaknya kini sedang dinilai. Ada soalan mengenai penerbangan anda? Sila hubungi syarikat penerbangan anda," kata lapangan terbang itu.

Lapangan Terbang Delhi di India melalui akaun X @DelhiAirport berkata beberapa perkhidmatan di lapangan terbang itu terjejas sementara akibat isu IT global.

"Kami sedang bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan untuk meminimumkan kesulitan kepada penumpang kami," katanya.

Lapangan Terbang Gatwick London melalui akaun X @Gatwick_Airport melaporkan bahawa mereka terjejas oleh isu Microsoft global, menyebabkan kemungkinan kelewatan semasa prosedur daftar masuk dan keselamatan.

"Penumpang masih perlu tiba untuk waktu daftar masuk biasa mereka. Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan dan sedang berusaha menyelesaikan isu ini secepat mungkin," katanya.

Lapangan Terbang Berlin Brandenburg memberi ingatan kepada penumpang melalui platform X @berlinairport: "Maklumat untuk penumpang: Disebabkan oleh kerosakan teknikal, akan berlaku kelewatan dalam daftar masuk."

Sementara itu, syarikat penerbangan tambang rendah Ryanair memberi amaran tentang "potensi gangguan di seluruh rangkaian" akibat gangguan sistem pihak ketiga global, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Di laman web syarikat penerbangan itu, ia menyatakan: "Potensi gangguan di seluruh rangkaian (Jumaat 19 Julai) akibat gangguan sistem pihak ketiga global.

"Penumpang yang terjejas akan dimaklumkan dan mana-mana penumpang yang melakukan perjalanan merentasi rangkaian pada Jumaat 19 Julai harus menyemak aplikasi Ryanair mereka untuk kemas kini terkini mengenai penerbangan mereka.

"Kami menasihatkan penumpang untuk tiba di lapangan terbang tiga jam lebih awal daripada penerbangan mereka untuk mengelakkan sebarang gangguan.

"Kami kesal atas sebarang kesulitan yang dihadapi penumpang oleh isu IT pihak ketiga ini, yang berada di luar kawalan Ryanair dan menjejaskan semua syarikat penerbangan yang beroperasi di seluruh rangkaian."

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan