DUNIA > BERITA

GANGGUAN SIBER GLOBAL : LEBIH BANYAK SYARIKAT PENERBANGAN DAN PERKHIDMATAN TERMINAL TERJEJAS

19/07/2024 07:44 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Gangguan siber global telah menjejaskan operasi penerbangan dan perkhidmatan terminal, menyebabkan kelewatan dan gangguan di serata dunia.

Lapangan Terbang Sydney di Australia menerusi akaun X @SydneyAirport melaporkan bahawa gangguan teknikal global telah menjejaskan beberapa operasi penerbangan dan perkhidmatan terminal.

Lapangan terbang itu memaklumkan ada penerbangan yang sedang tiba dan berlepas, namun memberi amaran kemungkinan berlaku kelewatan sepanjang malam.

“Kami telah mengaktifkan rancangan luar jangka dan menempatkan kakitangan tambahan di terminal kami.

Jika anda akan melakukan perjalanan hari ini, pastikan anda tiba di lapangan terbang lebih awal dan semak dengan syarikat penerbangan anda mengenai status penerbangan anda," katanya.

Lapangan Terbang Melbourne menerusi @Melair di platform X melaporkan bahawa mereka mengalami masalah teknologi global yang menjejaskan prosedur daftar masuk bagi beberapa syarikat penerbangan.

“Penumpang yang menggunakan syarikat penerbangan tersebut pada petang ini dinasihatkan supaya tiba lebih awal sedikit untuk daftar masuk. Sila semak dengan syarikat penerbangan anda untuk kemas kini penerbangan,” katanya.

Hantaran Lapangan Terbang Amsterdam Schiphol@Schiphol di platform X  melaporkan kegagalan sistem global yang menjejaskan penerbangan menuju dan dari Schiphol.

“Impak sedang dinilai. Adakah anda mempunyai soalan mengenai penerbangan anda? Sila hubungi syarikat penerbangan anda,” kata lapangan terbang itu.

Lapangan Terbang Delhi di India menerusi akaun X @DelhiAirport berkata beberapa perkhidmatan di lapangan terbang itu terjejas sementara akibat isu teknologi maklumat (IT) global.

“Kami sedang bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan untuk meminimumkan kesulitan kepada penumpang kami,” katanya.

Lapangan Terbang London Gatwick @Gatwick_Airport melaporkan bahawa mereka terjejas oleh isu global Microsoft  menyebabkan kemungkinan kelewatan semasa prosedur daftar masuk dan keselamatan.

“Penumpang masih perlu tiba pada waktu daftar masuk biasa mereka. Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan dan sedang berusaha untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin,” katanya.

Lapangan Terbang Brandenburg Berlin memberi amaran kepada penumpang menerusi platform X @berlinairport: “Makluman untuk penumpang: Disebabkan gangguan teknikal, akan berlaku kelewatan semasa daftar masuk.”

Sementara itu, syarikat penerbangan tambang rendah Ryanair memberi amaran mengenai "gangguan berpotensi di seluruh rangkaian" akibat gangguan sistem pihak ketiga global, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Di laman sesawang syarikat penerbangan itu, ia menyiarkan: “Gangguan berpotensi di seluruh rangkaian (Jumaat, 19 Julai) akibat gangguan sistem pihak ketiga global.

“Penumpang yang terkesan akan diberitahu dan sebarang penumpang yang melakukan perjalanan di seluruh rangkaian pada Jumaat, 19 Julai harus menyemak aplikasi Ryanair untuk kemas kini terkini mengenai penerbangan mereka.

“Kami menasihatkan penumpang untuk tiba di lapangan terbang tiga jam lebih awal daripada penerbangan  mereka untuk mengelakkan sebarang gangguan.

“Kami kesal atas sebarang kesulitan yang dialami penumpang akibat isu IT pihak ketiga ini, yang berada di luar kawalan Ryanair dan menjejaskan semua syarikat penerbangan yang beroperasi di seluruh rangkaian.”

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan