DUNIA > BERITA

PEMIMPIN EROPAH HORMATI KEPUTUSAN BIDEN TARIK DIRI PILIHAN RAYA 2024

22/07/2024 02:43 PM

MOSCOW, 22 Julai (Bernama-Sputnik) -- Para pemimpin Eropah menghormati keputusan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden untuk menarik diri daripada pilihan raya presiden 2024, lapor Sputnik.

Pada Ahad, Biden mengumumkan pengundurannya daripada pilihan raya berkenaan dan menyokong Naib Presiden Kamala Harris sebagai calon Parti Demokrat untuk jawatan presiden AS.

“Sahabat saya Joe Biden telah mencapai banyak perkara untuk negaranya, untuk Eropah dan untuk dunia.

“Terima kasih kepadanya, kerjasama rentas-Atlantik semakin erat, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kuat dan AS adalah rakan kongsi yang baik dan boleh dipercayai bagi kami. Keputusan beliau untuk tidak bertanding wajar dihormati," kata Canselor Jerman Olaf Scholz di platform X pada Ahad.

Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez berkata bahawa keputusan Biden yang "berani dan bermaruah" untuk menarik diri dari pemilihan presiden sangat mengagumkan dan layak dihargai.

"Saya menghormati keputusan Presiden Biden dan saya berharap kita dapat bekerjasama sepanjang baki tempoh jawatannya," kata Perdana Menteri UK Keir Starmer di X.

Pada masa yang sama, Menteri Luar Latvia Baiba Braze turut memberi penghormatan tertinggi kepada Biden atas keputusan itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Britain Keir Starmer memuji Biden kerana membuat keputusan berdasarkan apa yang beliau percaya adalah demi kepentingan terbaik rakyat Amerika, lapor PA Media/dpa news.

Mengulas mengenai keputusan Biden, Starmer berkata beliau menghormati keputusan Biden dan berharap dapat bekerjasama sepanjang baki tempoh jawatannya.

“Saya tahu bahawa, seperti yang telah beliau lakukan sepanjang kerjayanya yang luar biasa, Presiden Biden akan membuat keputusan berdasarkan apa yang beliau percaya demi kepentingan terbaik rakyat Amerika," katanya.

Di Dublin, Perdana Menteri Simon Harris mengucapkan terima kasih kepada Biden atas kepimpinan dan persahabatan dengan negara Ireland selepas presiden AS itu menarik diri daripada bertanding pilihan raya presiden 2024.

“Joe Biden, dalam semua jawatan yang beliau pegang, sentiasa menjadi suara yang teguh dan sentiasa bersemangat untuk keamanan di pulau Ireland dan negara kita berhutang budi kepadanya disebabkan hal ini,” katanya.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata beliau menghormati keputusan Biden untuk tidak bertanding semula bagi penggal kedua.

“Banyak keputusan telah dibuat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan ia akan dikenang sebagai langkah berani yang diambil oleh Presiden Biden sebagai tindak balas terhadap masa-masa yang mencabar.

“Dan kami menghormati keputusan sukar tetapi kukuh hari ini," tulis Zelensky di platform X.

Zelensky mengucapkan terima kasih kepada Biden atas sokongan teguhnya terhadap perjuangan Ukraine menuntut kebebasan.

-- BERNAMA-AGENCIES


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan