DUNIA > BERITA

BANGLADESH TUBUH JAWATANKUASA SIASAT KEGANASAN PROTES PELAJAR SEBABKAN 197 KEMATIAN

25/07/2024 10:12 AM

DHAKA, 25 Julai (Bernama-Anadolu) -- Kerajaan Bangladesh telah menubuhkan sebuah jawatankuasa kehakiman yang diketuai hakim Mahkamah Agung untuk menyiasat keganasan semasa protes pelajar mengenai sistem kuota dalam perkhidmatan awam yang menyebabkan kematian 197 orang, lapor Agensi Anadolu.

Mereka yang bertanggungjawab atas kekacauan di negara ini sejak minggu lalu akan dihukum, tegas Menteri Maklumat dan Penyiaran Bangladesh, Mohammad A Arafat ketika bercakap kepada media antarabangsa di ibu negara Dhaka.

Sejak Sabtu, kerajaan Bangladesh telah mengenakan perintah berkurung dan mengerahkan tentera di seluruh negara untuk meredakan protes.

Bagaimanapun pada Rabu, perintah berkurung telah dilonggarkan selama beberapa jam pada siang hari untuk membolehkan orang ramai membeli keperluan harian.

Sekurang-kurangnya 197 orang terbunuh dan ribuan lagi cedera semasa protes yang tercetus pada 16 Julai.

Namun, kerajaan masih belum mengeluarkan angka rasmi korban.

Kerajaan sedang berusaha untuk menentukan jumlah sebenar orang yang terbunuh dan cedera, katanya.

Arafat mendakwa bahawa terdapat "pihak ketiga" terlibat dalam protes yang menyebabkan kekacauan di seluruh negara.

Sebagai tindak balas kepada soalan mengenai sama ada kerajaan akan mengambil tindakan jika Liga Pelajar Bangladesh didapati bersalah menyerang pelajar yang memprotes hingga mencetuskan protes untuk merebak di universiti-universiti, beliau enggan menamakan mana-mana organisasi tetapi memberi jaminan bahawa sesiapa yang terlibat akan dihukum.

Arafat, yang mengadakan sidang media di dalam bangunan Televisyen Bangladesh (BTV) milik kerajaan, menunjukkan kepada wartawan bilik-bilik dan peralatan yang musnah akibat perbuatan khianat pada 18 Julai.

"Ini menyerupai zon perang.

 "Kami percaya tiada pelajar, tetapi penjenayah yang melakukan perkara ini," katanya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Asaduzzaman Khan menyalahkan parti-parti pembangkang, termasuk Jamaat-e-Islami dan Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), serta beberapa militan, atas keganasan semasa pergolakan itu.

"Kami akan mengenal pasti mereka satu persatu. Mereka akan berdepan undang-undang. Kami tidak akan berundur untuk memastikan ia berlaku," kata menteri itu kepada wartawan di Dhaka.

Lebih 800 orang ditahan di Dhaka dalam tempoh 24 jam yang lalu, dan lebih 3,000 di seluruh negara berhubung dengan keganasan semasa protes, kata polis.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan bahawa majoriti mereka adalah ahli parti pembangkang.

Pada Selasa lalu, penyelaras gerakan pelajar dalam satu sidang media di Dhaka memberi kata dua untuk mengembalikan ketenteraman dan membuka semula kampus di seluruh negara dalam tempoh 48 jam.

Sebagai tindak balas, Menteri Pendidikan Mohibul Hasan Chowdhury berkata situasi semasa tidak sesuai untuk pembukaan semula institusi pendidikan.

Dalam pada itu, Menteri Telekomunikasi Zunaid Ahmed Palak memberitahu wartawan bahawa perkhidmatan internet jalur lebar akan dipulihkan di seluruh negara secara percubaan pada malam Rabu, diikuti dengan internet mudah alih dalam minggu berikutnya.

Media sosial kekal tidak boleh diakses sehingga Rabu, dengan Palak menyalahkan platform media sosial utama kerana gagal mematuhi undang-undang negara dan membenarkan penyebaran maklumat palsu hingga mencetuskan keganasan.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan