DUNIA > BERITA

800,000 Orang Terjejas Oleh Pembatalan Perkhidmatan Kereta Api - SNCF

26/07/2024 06:41 PM

PARIS, 26 Julai (Bernama-dpa) -- Seramai 800,000 orang terjejas akibat pembatalan perkhidmatan kereta api berikutan serangan ke atas rangkaian rel kereta api berkelajuan tinggi, lapor dpa memetik syarikat kereta api Perancis SNCF.

SNCF pada Jumaat berkata kesan pembatalan itu akan dirasai sepanjang hujung minggu ini.

Menteri Pengangkutan Patrice Vergriete mengumumkan bahawa setiap kereta api kedua ke timur dan utara serta setiap kereta api berkelajuan tinggi keempat ke arah Bordeaux terjejas.

Jurucakap polis Paris Laurent Nunez dalam kenyataan di laman sesawang penyiar FranceInfo memaklumkan langkah keselamatan sedang ditingkatkan dengan pasukannya menumpukan perhatian di stesen Paris.

Beberapa jam sebelum upacara pembukaan Sukan Olimpik di Paris, individu tidak dikenali melakukan serangan khianat menggunakan api ke atas beberapa kemudahan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi Perancis.

Beberapa perkhidmatan kereta api Eurostar ke Paris telah dibatalkan dan beberapa lagi dilencongkan disebabkan perbuatan khianat itu.

Pengendali kereta api itu pada Jumaat mengesahkan perkhidmatan kereta api mereka akan mengalami kelewatan kerana masalah berterusan di Perancis, lapor Agensi Berita PA.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan