DUNIA > BERITA

Olimpik Paris : Impian Nadal Berakhir Selepas Kekalahan Teruk Kepada Djokovic

30/07/2024 02:18 AM

PARIS, 29 Julai (Bernama-dpa) -- Legenda tenis, Rafael Nadal terpaksa melupakan impian untuk menambah koleksi pingat di Sukan Olimpik selepas tewas kepada Novak Djokovic 6-1, 6-4 dalam pusingan kedua, demikian laporan Agensi Berita Jerman (dpa).

Walaupun Nadal masih beraksi dalam acara beregu bersama Carlos Alcaraz, harapan untuk melihat aksi beliau di gelanggang dalam acara perseorangan masih menjadi tanda tanya.

Nadal, 38, yang sering dihimpit kecederaan menyuarakan kemungkinan ini musim terakhirnya. Setelah tersingkir awal di Terbuka Perancis dan mengelak daripada Wimbledon serta kekalahan ini, spekulasi mengenai penyertaannya di Terbuka Amerika Syarikat (AS) semakin hangat diperkatakan.

Djokovic, mendahului dengan rekod 24 gelaran Grand Slam lelaki, manakala Nadal kedua dalam senarai rekod sepanjang zaman dengan 22 gelaran. Nadal yang tidak mendapat pengecualian untuk Sukan ini, terpaksa berdepan dengan Djokovic yang berada dalam prestasi terbaiknya.

Djokovic menguasai permainan sejak awal dengan mendahului 2-0 dalam set pertama di Court Philippe Chatrier, tempat Nadal pernah berjaya memenangi Terbuka Perancis sebanyak 14 kali.

Juara perseorangan Olimpik 2008 itu hanya mampu memberi sedikit saingan ketika beliau bangkit daripada ketinggalan 0-4 menjadi 4-4 dalam set kedua.

Djokovic yang masih belum memiliki pingat emas Olimpik, kini semakin hampir untuk memenuhi koleksi kejayaannya setelah memenangi Terbuka Perancis tiga kali. Beliau akan bertemu Dominik Koepfer dari Jerman atau Matteo Arnaldi dari Itali pada pusingan ketiga.

-- BERNAMA-dpa

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan