BERITA TERGEMPAR   Pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional - PM Anwar | PM Anwar umum pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi | 
 DUNIA > BERITA

WHO Iktiraf UAE Atas Komitmen Integrasi Vaksin HPV

16/08/2024 12:07 PM

KAHERAH, 16 Ogos (Bernama-WAM) -- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengiktiraf Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas usaha progresifnya dalam memperkukuh program imunisasi kebangsaan, dengan penekanan khusus terhadap integrasi vaksin HPV, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

Pengiktirafan ini menonjolkan keyakinan WHO terhadap sistem penjagaan kesihatan UAE yang kukuh, yang mengutamakan penjagaan pencegahan serta mengintegrasikan teknologi imunisasi terkini melalui pendekatan inovatif dan mampan.

Anugerah itu diterima oleh Pengerusi Kumpulan Penasihat Teknikal Imunisasi Kebangsaan (NITAG), Dr Ahmed Al Suwaidi bersama Dr Sulaiman Al Hammadi dan Dr Laila Al-Jasmi dari Kementerian Kesihatan dan Pencegahan (MoHAP) dalam satu majlis di Pejabat Serantau WHO bagi Mediterranean Timur di Kaherah.

Majlis itu juga sempena ulang tahun ke-50 Program Asas Imunisasi WHO, yang dihadiri oleh pegawai kanan dan wakil-wakil dari rantau Mediterranean Timur.

Inisiatif strategik utama ini menjalani semakan berkala oleh jawatankuasa teknikal khusus, termasuk NITAG dan Jawatankuasa Tertinggi Imunisasi Kebangsaan.

Penolong Setiausaha Sektor Kesihatan Awam, Dr Hussain Abdul Rahman Al Rand berkata bahawa pengiktirafan ini adalah sumber kebanggaan negara dan mencerminkan komitmen kepimpinan UAE terhadap kecemerlangan kesihatan global.

Beliau menekankan bahawa penghormatan ini bukan sahaja mengiktiraf dedikasi MoHAP dan rakan strategiknya dalam meningkatkan kecekapan sistem kesihatan, tetapi juga menjadi motivasi untuk mengekalkan piawaian tinggi dalam kesihatan awam dan pencegahan penyakit.

Al Rand turut menekankan peranan utama UAE di rantau ini dan di peringkat global dalam memerangi HPV dan kanser serviks, yang dicapai melalui dasar kesihatan komprehensif berdasarkan penyelidikan saintifik.

Sejak 2018, UAE menyenaraikan vaksin HPV untuk wanita dalam program imunisasi kebangsaannya, menjadikannya yang pertama di Mediterranean Timur untuk berbuat demikian.

Program ini baru-baru ini diperluas dengan melibatkan pelajar lelaki berusia 13 hingga 14 tahun.

Beliau juga mengiktiraf sokongan berterusan daripada rakan strategik MoHAP, yang menyokong Program Imunisasi Kebangsaan dan memperkukuh status UAE sebagai model global untuk penjagaan kesihatan bersepadu.

-- BERNAMA-WAM


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan