DUNIA > BERITA

China, Laos Eratkan Kerjasama Pembangunan Di Kawasan Sepanjang Jalan Kereta Api

16/08/2024 03:56 PM

CHIANG MAI, 16 Ogos (Bernama-CMG) -- China bersedia terus mengeratkan kerjasama yang saling menguntungkan dengan Laos dalam pelbagai bidang, terutamanya mempercepat pembangunan bersepadu di kawasan sepanjang Jalan Kereta Api China-Laos dengan memanfaatkan pengaruhnya pada pelbagai aspek yang dipercayai kondusif bagi pembangunan di negara masing-masing. 

Menteri Luar China Wang Yi berkata demikian ketika bertemu dengan Naib Perdana Menteri Laos merangkap Menteri Luar, Saleumxay Kommasith di Chiang Mai, Thailand pada Khamis waktu tempatan.

"China menyokong teguh Laos meneliti dan melakukan pembangunan mengikut acuan sendiri dan menjalankan tugas dengan baik selaku negara pengerusi bergilir ASEAN," kata Wang.  

Sementara itu, Saleumxay Kommasith menyatakan bahawa kerjasama dengan China yang berkembang pesat berperanan amat penting dalam pembangunan sosioekonomi Laos. 

Pihaknya bersedia bersama-sama dengan China bertindak pantas melaksanakan konsensus yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara, mengeratkan pertukaran lawatan peringkat tinggi, meningkatkan kesalinghubungan dan kerjasama dalam bidang sumber perlombongan, sinergi memerangi jenayah rentas sempadan dan membuahkan hasil yang lebih banyak dalam membina komuniti berkongsi nasib Laos-China demi kesejahteraan rakyat.  

Kedua-dua pihak juga bertukar-tukar pendapat mengenai isu Myanmar. 

Wang Yi menyatakan bahawa China menyokong ASEAN meningkatkan komunikasi dan kontak dengan Myanmar, melakukan perbincangan tentang peningkatan penyelarasan dalam pelaksanaan "lima konsensus ASEAN" dengan "peta garisan lima perkara" yang baharu yang dikemukakan Myanmar dan bertindak membantu Myanmar memelihara kestabilan domestiknya, mewujudkan perdamaian dengan saluran politik dan memulihkan proses peralihan demokrasi.

Dalam pada itu, Saleumxay Kommasith menyanjung tinggi peranan China yang konstruktif dalam mendorong rundingan damai di kawasan utara Myanmar dan perdamaian dengan saluran politik di peringkat kebangsaan negara itu. Pihaknya bersedia meningkatkan koordinasi dengan China untuk membantu Myanmar melakukan pembangunan dalam suasana yang stabil.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan