DUNIA > BERITA

Australia Uji Pas Perjalanan Digital

17/08/2024 03:58 PM

CANBERRA, 17 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Australia akan menguji kad perjalanan digital bagi menggantikan kad kertas untuk ketibaan ke negara itu, lapor Xinhua.

Di bawah program perintis untuk Deklarasi Perjalanan Australia, penumpang penerbangan Qantas dari New Zealand ke Australia pada akhir 2024 akan dapat mengemukakan status imigresen, kastam dan biosekuriti mereka secara digital sehingga 72 jam sebelum tiba di Australia.

Pasukan Sempadan Australia (ABF) dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa sistem itu akan diperluas ke syarikat penerbangan lain selepas fasa percubaan.

Sistem digital itu akan menggantikan Kad Penumpang Masuk (IPC) yang kini perlu diisi oleh semua pelancong ke Australia bagi mengisytiharkan penginapan dan barangan yang dibawa masuk ke negara itu.

"Pendigitan Kad Penumpang Masuk memberikan peluang untuk menyelaraskan proses, meningkatkan kualiti data dan menawarkan pengalaman yang lancar untuk pengguna," menurut kenyataan itu.

Setelah selesai, pengguna yang menggunakan pengisytiharan baharu akan menerima e-mel yang mengandungi kod QR yang boleh diimbas oleh pegawai ABF.

Pesuruhjaya ABF Michael Outram berkata inisiatif itu adalah hasil inisiatif Trans-Tasman Seamless Travel Group, yang mengumpulkan pemimpin dan pakar dari Australia dan New Zealand untuk menyelesaikan masalah dan melakukan inovasi.

Kumpulan perniagaan Australian Chamber of Commerce and Industry (ACCI) pada Julai mengeluarkan laporan yang menyeru kerajaan untuk mendigitalkan IPC.

Ia menyifatkan kertas IPC sebagai kuno dan menghalang pengunjung daripada kembali ke Australia. Forum Pelancongan dan Pengangkutan Australia pada Jumaat menyifatkan langkah ke arah sistem digital sebagai kemenangan besar bagi industri pelancongan.

-- BERNAMA-XINHUA  

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan