DUNIA > BERITA

IAEA Beri Amaran Risiko Keselamatan Di Loji Nuklear Zaporizhzhia, Ukraine

18/08/2024 11:00 AM

ISTANBUL, 18 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Situasi keselamatan nuklear di loji kuasa nuklear Zaporizhzhia di selatan Ukraine semakin merosot selepas serangan dron di sekitar perimeter kemudahan berkenaan, lapor Agensi Anadolu (AA) pada Sabtu memetik Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

“Kita sekali lagi melihat peningkatan bahaya keselamatan dan keselamatan nuklear yang dihadapi oleh Loji Kuasa Nuklear Zaporizhzhia.

“Saya tetap amat bimbang dan mengulangi seruan saya untuk semua pihak menunjukkan pengawalan maksimum dan pematuhan ketat terhadap lima prinsip konkrit yang ditetapkan untuk melindungi loji ini,” kata ketua IAEA Rafael Mariano Grossi dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Misi Sokongan dan Bantuan IAEA ke Zaporizhzhia telah diberi taklimat mengenai kejadian itu daripada pegawai di loji kuasa di  kawasan yang kini dikuasai Rusia.

Misi IAEA segera memeriksa kawasan itu dan mengesahkan kerosakan berkenaan kemungkinan besar disebabkan oleh dron yang dilengkapi bahan letupan. 

Walaupun tiada kemalangan jiwa dan tiada kesan terhadap peralatan loji, letupan itu telah merosakkan jalan antara dua pintu utama kemudahan berkenaan.

Misi itu juga melaporkan peningkatan aktiviti ketenteraan berhampiran loji berkenaan dalam tempoh seminggu lepas.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan