DUNIA > BERITA

China Tegaskan Kesanggupannya Untuk Dorong Perdamaian Di Myanmar

21/08/2024 03:23 PM

BEIJING, 21 Ogos (Bernama-CMG) -- China dengan tegas menghormati kedaulatan, kemerdekaan, penyatuan negara dan keutuhan wilayah Myanmar dan tidak mencampuri urusan dalaman negara itu.

China juga komited untuk proses damai yang dimiliki dan diterajui rakyat Myanmar, dan menyokong ASEAN memainkan peranan sebagai saluran utama.

Komitmen itu dizahirkan Menteri Luar China Wang Yi ketika menerima kunjungan Utusan Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Myanmar Julie Bishop di sini pada Selasa.

Wang Yi berkata isu Myanmar adalah sangat rumit, oleh itu utusan khas Setiausaha Agung PBB memainkan peranan unik dan memikul tanggungjawab penting.

Beliau berharap Bishop dapat mengendalikan hubungan antara pelbagai pihak secara objektif dan adil dan membantu Myanmar mencari kaedah berkesan bagi mengatasi percanggahan demi kepentingan rakyat negara itu untuk jangka masa panjang.

Wang Yi berkata China bersedia menghulurkan bantuan dan sokongan kepada Bishop dan memainkan peranan konstruktif untuk mewujudkan perdamaian politik dan keamaman berkekalan di Myanmar.

Sementara itu, Bishop berkata sebagai negara jiran penting dan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, China mempunyai pengaruh yang istimewa.

Bishop berkata beliau ingin merapatkan komunikasi serta meningkatkan kolaborasi dengan China dan ASEAN untuk mencapai konsensus ke arah menangani isu Myanmar dengan baik, menamatkan konflik dengan secepat mungkin, meredakan ketegangan situasi kemanusiaan di Myanmar selain merealisasikan kedamaian dan kemakmuran berkekalan yang diterajui rakyat negara itu.

-- BERNAMA-CMG 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan