DUNIA > BERITA

Malaysia Sebagai Pengerusi ASEAN Akan Lebih Proaktif, Gesa AS-China Reda Ketegangan

22/08/2024 10:19 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Sebagai pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) tahun depan, Malaysia akan menerajui kumpulan serantau itu dalam melibatkan diri dengan lebih proaktif dengan Amerika Syarikat (AS) dan China, dengan matlamat untuk mengurangkan ketegangan yang semakin meningkat antara kedua-duanya.

"Selagi kita (ASEAN) mengambil peranan penting ini untuk terus terlibat dengan kedua-duanya, saya fikir tidak mengapa untuk membendung (ketegangan)," kata Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam temu bual dengan India Today Global semasa lawatan rasmi tiga hari beliau ke India.

Ketegangan yang berlarutan antara AS dan China sejak beberapa tahun kebelakangan ini bukan sahaja menyebabkan kemerosotan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, tetapi juga menjejaskan kestabilan global dan kemakmuran ekonomi.

Anwar menyatakan rasa bertuah kerana menjadi Pengerusi ASEAN seterusnya, yang disifatkannya sebagai "kumpulan subserantau yang paling padu di dunia" dengan hubungan yang mantap dalam kalangan negara anggota dan pemimpin mereka.

Dalam isu Myanmar, beliau berkata kumpulan itu akan terus terlibat dengan semua pihak untuk menyelesaikan krisis yang berpanjangan.

"Saya fikir kita tidak mempunyai pilihan selain terlibat, dan saya pasti akan aktif dengan persetujuan rakan sekerja saya di ASEAN.

"Parameter telah ditetapkan dan kebanyakannya telah dibincangkan secara meluas tahun lepas di Jakarta dan tahun ini," katanya.

Pemimpin ASEAN pada April 2021 menyokong Konsensus Lima Perkara untuk menangani krisis politik di Myanmar, termasuk menyeru agar keganasan dihentikan serta-merta dan memulakan dialog konstruktif untuk memulihkan keamanan dan keselamatan berikutan rampasan kuasa tentera yang menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik pada Februari tahun yang sama.

Anwar berkata krisis itu juga memberi kesan kepada Malaysia, yang kini menjadi tuan rumah kepada lebih 200,000 etnik Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di Myanmar.

"Saya sangat percaya kepada hak asasi manusia dan kebebasan, oleh itu kita perlu melindungi mereka, tetapi pada masa yang sama ia menyebabkan terlalu banyak kesulitan dan kesukaran untuk kita mengawal kumpulan ini. Jadi penglibatan itu perlu diteruskan," katanya.

Kepada satu soalan, Anwar mengulangi bahawa Malaysia tidak akan ditekan untuk berpihak kepada mana-mana kuasa besar.

"Mengapa memaksa kita untuk berpihak? Kami akan mempertahankan integriti wilayah kami. Kami akan mengekalkan keutamaan kami. Kita tahu bahawa dalam dunia global ini, kita perlu berinteraksi dengan semua orang.

"Amerika kekal sebagai negara yang sangat penting dalam pelaburan, perdagangan, pendidikan, teknologi dan AI (kecerdasan buatan). China adalah kuasa yang sedang bangkit di rantau ini. Saya telah meletakkan banyak kepentingan kepada India, walaupun bertentangan dengan pendahulu saya," katanya.

Beliau berkata Malaysia bertekad untuk menangani sebarang isu yang timbul dengan negara jirannya, termasuk tuntutan bertindih di Laut China Selatan, melalui mekanisme dua hala dan pelbagai hala.

Perdana menteri juga menekankan kepentingan India sebagai ekonomi yang sedang berkembang dan kepada rantau ASEAN, serta harapannya untuk kumpulan itu mewujudkan kerjasama strategik yang mendalam dengan negara Asia Selatan itu.

Anwar telah menjemput Perdana Menteri India Narendra Modi ke Sidang Kemuncak ASEAN tahun depan, yang beliau berkata Modi telah menerimanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan