DUNIA > BERITA

DPR Indonesia Tangguh RUU Pilkada Susulan Protes

22/08/2024 08:17 PM

JAKARTA, 22 Ogos (Bernama) -- Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia pada Khamis menangguhkan kelulusan pindaan Rang Undang-Undang Pilihan Raya Daerah (RUU Pilkada) susulan kekurangan korum dan protes yang sedang berlaku di beberapa bandar utama.

Hanya 86 daripada 560 anggota hadir, kata Timbalan Speaker Sufmi Dasco Ahmad di Parlimen di sini, sambil menegaskan bahawa kepimpinan akan menilai kebimbangan awam dan kesan RUU terhadap pencalonan Pilkada sebelum menjadualkan semula undian.

Penentangan muncul selepas Komisi III DPR menyelesaikan perbincangan RUU pada Rabu.

Penunjuk perasaan menuntut agar DPR menolak RUU daripada Komisi III yang telah mengetepikan keputusan Mahkamah Konstitusi mengenai syarat calon bagi semua parti politik dan had umur.

Komisi III menetapkan parti atau gabungan parti perlu mempunyai sekurang-kurangnya 20 peratus daripada kerusi atau 25 peratus daripada undi di Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) untuk menamakan calon.

Pada Isnin, 12 parti termasuk Gerindra, Golkar dan Nasdem menyokong bekas gabenor Jawa Barat Ridwan Kamil, dan bekas Menteri Pertanian Suswono untuk menjadi calon gabenor dan timbalan gabenor di Pilkada Jakarta.

Penganalisis meramalkan gabungan parti itu mungkin mampu menghalang pencalonan bekas calon Presiden dan bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan untuk kembali bertanding.

Selain itu, pindaan RUU menetapkan umur minimum bagi calon gabenor ialah 30 tahun manakala bagi calon bupati dan wali kota adalah 25 tahun.

Beberapa anggota dewan bertemu dengan penunjuk perasaan di luar bangunan Parlimen untuk mendengar maklum balas mereka, termasuk dakwaan bahawa RUU itu bertujuan membolehkan anak bongsu Presiden Joko Widodo, Kaesang Pangarep, 29, bertanding dan mengecualikan pencalonan daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P).

Protes juga berlaku di bandar utama lain seperti Makassar, Semarang, Yogyakarta dan Bandung di Jawa Barat.

Sejak awal pagi pasukan keselamatan, termasuk 3,286 anggota polis, dikerahkan di Jakarta untuk menguruskan protes yang dianjurkan Gabungan Pelajar Indonesia, penyokong Parti Buruh dan aktivis.

Sekurang-kurangnya 2,013 pegawai ditempatkan di Parlimen dan 1,273 di Patung Kuda di kompleks Monumen Nasional, yang merupakan lokasi terkenal untuk demonstrasi.

Sepuluh organisasi media bergabung di ‘Koalisi Lintas Organisasi Pers’ turut mengkritik proses perundangan yang terburu-buru dan didakwa mengabaikan prinsip perlembagaan serta menyatakan kebimbangan mengenai kesannya terhadap perlembagaan dan demokrasi.

Pilkada 2024, yang melibatkan pemilihan gabenor, bupati, wali kota, dijadualkan pada 27 Nov.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan