SUKAN > BERITA

Pearly-Thinaah Antara Lima Wakil Malaysia Ke Suku Akhir Terbuka Jepun

22/08/2024 10:16 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah, antara lima wakil Malaysia yang mara ke suku akhir Terbuka Jepun 2024 hari ini.

Pearly-Thinaah meneruskan momentum cemerlang mereka dalam kejohanan Super 750 di Yokohama Arena selepas mengetepikan cabaran Julie Finne-Ipsen-Mai Surrow dari Denmark 21-11, 22-20 dalam masa 34 minit.

Pasangan itu yang bermain di separuh akhir Olimpik Paris 2024 bakal berdepan pilihan kedua dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning yang turut mencatatkan kemenangan straight set ke atas beregu tuan rumah Rui Hirokami-Yuna Kato, 21-9, 21-18.

Dua pasangan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut mara ke peringkat suku akhir.

Tang Jie-Ee Wei yang juga pilihan ketujuh kejohanan menewaskan Mads Vestergaard-Christine Busch dari Denmark 21-13, 21-13 manakala Kian Meng-Pei Jing menundukkan Ruttanapak Oupthrong-Jhenicha Sudjaipraparat dari Thailand 21-12, 21-16.

Tang Jie-Ee Wei akan bertemu pilihan kedua Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin selepas pasangan China itu menumpaskan pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 21-10, 21-17.

Kian Meng-Pei Jing pula akan bertemu pilihan keenam dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet  yang menewaskan pasangan Indonesia Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 17-21, 21-10, 21-12.

Dalam pada itu, beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun menewaskan rakan senegara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-16, 21-19 untuk bertemu pilihan ketiga Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dalam perlawanan seterusnya.

Pasangan Korea Selatan itu mengatasi Andreas Sondergaard-Jesper Toft dari Denmark 21-8, 21-12.

Satu lagi beregu negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mengesahkan tempat ke suku akhir apabila menewaskan Liu Kuang Heng-Yang Po Han dari Taiwan 21-14, 24-22.

Pasangan pilihan kelapan itu berpeluang menebus kekecewaan rakan senegara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri yang ditewaskan oleh lawan seterusnya dari Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 16-21, 21-8, 21-15.

Sementara itu, perjuangan wakil tunggal perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao berakhir selepas tumpas kepada pemain tuan rumah yang juga pilihan kelapan Kodai Naraoka 23-21, 10-21, 15-21.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan