DUNIA > BERITA

Azerbaijan, Malaysia Teroka Peluang Perkukuh Hubungan

03/09/2024 02:25 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Menteri Luar Azerbaijan, Jeyhun Bayramov mengadakan pertemuan dengan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan delegasinya pada Isnin.

Menurut laporan Agensi Berita Nasional Azerbaijan (AZERTAC), delegasi Malaysia tiba di Azerbaijan untuk menyaksikan proses pilihan raya awal bagi badan legislatif negara itu, Milli Majlis.

Pertemuan itu merangkumi perbincangan mengenai hubungan dua hala dan pelbagai hala antara kedua-dua negara, proses serta keputusan pilihan raya awal untuk Milli Majlis serta isu-isu serantau.

Sementara itu, Bayramov menjelaskan mengenai langkah-langkah yang diambil untuk memastikan proses pilihan raya seperti pilihan raya presiden awal tahun ini berlangsung dengan bebas, adil dan telus.

Beliau juga menekankan penglibatan pemerhati antarabangsa dan usaha yang dibuat untuk mewujudkan syarat yang perlu agar pilihan raya memenuhi keperluan perundangan dan piawaian antarabangsa.

Bayramov menyifatkan pilihan raya parlimen baru-baru ini yang diadakan buat kali pertama di wilayah-wilayah yang dibebaskan Azerbaijan selepas pilihan raya presiden, sebagai satu pencapaian bersejarah.

Beliau juga menegaskan bahawa pilihan raya itu dijalankan mengikut piawaian tinggi, mematuhi keperluan antarabangsa dan kerangka perundangan.

Semasa pertemuan itu, kedua-dua pihak meneroka peluang kerjasama antara Azerbaijan dan Malaysia, membincangkan prospek untuk membangunkan hubungan dua hala termasuk dalam sektor pelancongan dan pendidikan.

Mereka juga menyatakan bahawa rundingan politik yang akan datang, sebagai lanjutan daripada rundingan yang diadakan di Kuala Lumpur pada Julai tahun sebelumnya akan berlangsung di Baku.

Kedua-dua pihak turut menggariskan kejayaan kerjasama antara kedua-dua negara dalam pelbagai organisasi serantau dan antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali dan Pertubuhan Kerjasama Islam.

Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai isu-isu lain yang menjadi kepentingan bersama.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan