DUNIA > BERITA

Warga Pakistan Nikmati Cita Rasa Malaysia Di Festival "Journey To Malaysia"

08/09/2024 12:46 AM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 7 Sept (Bernama) -- Festival makanan dan budaya Malaysia yang meriah di Islamabad memikat selera rakyat Pakistan dengan pelbagai juadah istimewa. 

"Perjalanan ke Malaysia: Meneroka Pelbagai Perisa dan Tradisi Kulinari Asia Tenggara" selama seminggu menarik purata 200 orang setiap hari sejak dibuka pada Rabu.

Acara itu, yang dilancarkan atas kerjasama antara Hotel Islamabad Serena dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia, menyokong diplomasi kebudayaan Malaysia di Pakistan serta usaha berterusan negara untuk meletakkan "Budaya Sarapan Malaysia" dalam senarai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO.

"Festival ini adalah perayaan warisan bersama kita dan ikatan yang menyatukan kita sebagai jiran di rantau Asia yang dinamik ini. Malaysia adalah sebuah negara pelbagai budaya, dan masakan kami adalah bukti kepelbagaian ini, menggabungkan pengaruh daripada tradisi Melayu, Cina, India dan Orang Asli," kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Datuk Mohammad Azhar Mazlan.

Para hadirin gembira menikmati hidangan Malaysia seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik, yang merupakan sebahagian daripada budaya sarapan pagi sepanjang hari di Malaysia.

Pengalaman gastronomi ini turut dilengkapi dengan persembahan tarian kebudayaan dari pelbagai negeri di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan