DUNIA > BERITA

Indonesia Lancar Kemudahan Katod LFP Berjumlah US$200 Juta Untuk Tingkatkan Bekalan Bateri EV Global

09/10/2024 06:27 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 9 Okt (Bernama) -- Fasa pertama kemudahan katod fosfat besi litium (LFP) Indonesia dengan pelaburan bersama berjumlah US$200 juta oleh PT LBM Energi Baru Indonesia telah dilancarkan untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat bagi bateri LFP, terutamanya dalam sektor kenderaan elektrik (EV).

Kemudahan itu yang dirasmikan oleh Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan, terletak di Taman Perindustrian Kendal, Jawa Tengah.

Projek ini adalah sebahagian daripada kerjasama pelaburan strategik dengan dana kekayaan berdaulat republik itu, Lembaga Pelaburan Indonesia dan syarikat China, Changzhou Liyuan New Energy Technology Co., Ltd., pembekal utama LFP global .

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Luhut berkata: “Indonesia tidak boleh lagi sekadar menjadi pengeksport bahan mentah. Kita mesti mewujudkan nilai tambah dalam negara, membina industri hiliran yang kukuh, dan meletakkan diri kita sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global.”

Kapasiti pengeluaran kemudahan itu dijangka meningkat daripada 30,000 tan kepada 90,000 tan menjelang 2025, menjadikan LFP sebagai komponen penting dan kos efektif untuk EV dan sistem penyimpanan tenaga.

LFP adalah salah satu komponen utama dalam bateri ion litium, selain daripada nikel kobalt mangan.

Projek ini dijangka mewujudkan lebih daripada 2,000 pekerjaan dan dijangka memenuhi pasaran bateri global yang dianggarkan bernilai sekitar US$10 bilion menjelang 2030.

“Ini bukan sekadar kilang, ia juga merupakan asas kepada ekosistem EV bersepadu di Indonesia.

Menerusi penambahbaikan rantaian pengeluaran bateri litium, tidak kurang daripada tiga juta unit EV di seluruh dunia akan dipenuhi keperluan bateri litium mereka oleh industri di Indonesia,” kata Luhut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan