DUNIA > BERITA

Laporan Badan Pemikir Dedahkan Cabaran Media Akibat Penyalahgunaan AI

14/10/2024 02:17 PM

URUMQI (China), 14 Okt (Bernama-Xinhua) -- Agensi Berita Xinhua pada Isnin mengeluarkan laporan badan pemikir yang menekankan cabaran dan risiko yang dihadapi industri media akibat penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Laporan bertajuk "Responsibility and Mission of News Media in AI Era," itu dikeluarkan oleh badan pemikir berkenaan semasa Sidang Kemuncak Media Dunia keenam yang sedang berlangsung di Urumqi, Xinjiang Uygur di barat laut China.

Laporan itu menjelaskan bahawa penyalahgunaan AI menyumbang kepada pengeluaran dan penyebaran maklumat salah secara meluas, menghakis kepercayaan sosial yang penting bagi organisasi berita dan mencetuskan krisis kredibiliti dalam landskap maklumat global.

Ia juga menekankan bahawa penggunaan AI secara meluas dalam penyebaran maklumat mewujudkan banyak faktor yang mempengaruhi landskap pendapat umum.

Kecenderungan yang wujud dalam data dan algoritma, ditambah pula dengan fenomena "filter bubble" menimbulkan cabaran kepada pembangunan kognitif dan pembentukan nilai yang bebas, rasional dan sihat, menurut laporan itu.

Selain itu, laporan itu memberi amaran tentang peningkatan risiko manipulasi pendapat awam dan peperangan maklumat yang didorong oleh AI.

Ia turut menjelaskan bahawa dengan sokongan AI, kaedah manipulasi pendapat awam terus berkembang dan instrumennya sentiasa ditingkatkan, menjadikan ekosistem pendapat awam semakin kompleks dan sukar difahami.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan