DUNIA > BERITA

Jerman Kecam Kenyataan Pegawai Israel Yang Mahu Rakyat Palestin Diusir Dari Gaza

23/10/2024 11:04 PM

BERLIN, 23 Okt (Bernama-Anadolu) -- Jerman pada Rabu mengecam keras Menteri Keselamatan Israel Itamar Ben-Gvir, kerana menyeru supaya Gaza dikosongkan daripada rakyat Palestin dan Israel menetap semula di wilayah yang dilanda peperangan itu, lapor Agensi Anadolu (AA).

“Kenyataan oleh Itamar Ben-Gvir adalah satu provokasi yang tidak boleh diterima dan ditolak dengan jelas oleh kerajaan persekutuan. Kami mengecam ini dengan sekeras-kerasnya,” kata jurucakap Timbalan Menteri Luar Jerman Kathrin Deschauer, kepada wartawan di Berlin.

“Kerajaan persekutuan menolak kenyataan dan rancangan seumpama ini. Gaza milik wanita dan lelaki Palestin. Kerajaan persekutuan menolak penempatan semula Israel di Gaza, bukan sahaja kerana ia bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, tetapi juga pasti akan menjejaskan sebarang penyelesaian politik, termasuk cadangan penyelesaian dua negara,” tambahnya.

Kenyataan Ben-Gvir dibuat pada Isnin semasa persidangan oleh peneroka sayap kanan Israel berhampiran sempadan Gaza untuk menuntut pembinaan semula penempatan Yahudi di wilayah Palestin itu.

Pada acara itu, yang mengandungi slogan seperti "Gaza Milik Kami, Selamanya" dan "Bersedia untuk Menetap Semula Gaza", Ben-Gvir berkata "menggalakkan penghijrahan" penduduk Palestin dari wilayah itu adalah "penyelesaian yang paling beretika" kepada konflik semasa.

"Jika kita mahu, kita boleh memperbaharui penempatan di Gaza," kata pemimpin ultranasionalis itu.

"Kita juga boleh melakukan sesuatu yang lain - menggalakkan penghijrahan. Sebenarnya, ini adalah penyelesaian yang paling beretika dan paling tepat," tambahnya.

Amerika Syarikat (AS) secara konsisten menentang idea mengembalikan penempatan Israel di Gaza, satu pendirian yang telah ditegaskan sepanjang peperangan yang sedang berlaku, terutamanya selepas Israel membongkar penempatan di Gaza hampir dua dekad yang lepas.

Menurut laman berita Israel, Walla, inisiatif sebegini boleh merumitkan pertahanan Israel dalam kes undang-undang di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, memandangkan undang-undang antarabangsa menganggap penempatan di wilayah yang diduduki adalah haram.

Afrika Selatan telah memfailkan kes terhadap Israel di ICJ pada Disember 2023, menuduh Tel Aviv melanggar Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1948. Mahkamah itu mula mendengar perbicaraan pada Januari mengenai langkah-langkah perlindungan untuk Gaza.

Israel meneruskan serangan kejam ke atas Gaza sejak serangan Hamas tahun lalu, walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang menuntut gencatan senjata segera.

Hampir 43,000 orang terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 100,000 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Perang Israel ke atas Gaza menyebabkan hampir keseluruhan penduduk wilayah itu kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah sekatan berterusan yang membawa kepada kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk.

Israel kini menghadapi kes genosid di ICJ kerana tindakannya di Gaza.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan