DUNIA > BERITA

Prabowo Lantik 961 Pemimpin Wilayah Dalam Majlis Bersejarah Di Istana Merdeka

20/02/2025 09:01 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 20 Feb (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto pada Khamis melantik seramai 961 pemimpin wilayah dalam satu majlis bersejarah, dengan semua pemimpin itu mengangkat sumpah secara serentak di Istana Merdeka, Jakarta Pusat.

Majlis pelantikan melibatkan gabenor, bupati dan datuk bandar didahului dengan perarakan dari kawasan Monumen Nasional ke kompleks istana berpakaian seragam putih dalam formasi berbaris.

Mereka telah menjalani latihan selama dua hari bersama Polis Indonesia sebelum majlis berlangsung, dan akan menjalani sesi permukiman di Akademi Tentera Magelang anjuran Kementerian Dalam Negeri selama lapan hari.

“Saya rasa ini adalah detik bersejarah pertama di negara kita. Kita lantik 33 gabenor, 33 timbalan gabenor, 363 bupati, 362 timbalan bupati, 85 datuk bandar, 85 timbalan datuk bandar daripada 481 daerah dilantik serentak," kata Prabowo ketika berucap di Istana Merdeka.

Prabowo turut berpesan kepada pemimpin daerah agar tidak mensia-siakan amanat rakyat dan menyeru mereka agar memperjuangkan nasib masyarakat di daerah masing-masing.

“Anda adalah hamba rakyat, mesti membela dan melindungi kepentingan rakyat serta berjuang untuk memperbaiki kehidupan mereka,” tegasnya.

Kesemua yang dilantik merupakan pemenang hasil pengundian Pilihan Raya Pemimpin Daerah (Pilkada) yang diadakan secara serentak di republik itu pada 27 November 2024.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan