Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 24 Feb (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto secara rasmi melancarkan dana kekayaan berdaulat, Daya Anagata Nusantara (Danantara) yang bertujuan mengurus aset milik kerajaan bernilai US$900 bilion, bermula dengan modal permulaan sebanyak US$20 bilion.
Beliau berkata modal itu akan memberi tumpuan kepada lebih 20 projek seperti pemprosesan hiliran nikel, bauksit dan tembaga, pembangunan pusat data kecerdasan buatan, kilang penapisan minyak, loji petrokimia, pengeluaran makanan dan protein, akuakultur serta tenaga boleh diperbaharui.
“Danantara akan menjadi pemangkin kemajuan, menghubungkan pelaburan dengan projek utama, mempercepatkan pembangunan ekonomi dan memupuk kemakmuran negara melalui tadbir urus yang telus serta bertanggungjawab,” katanya pada majlis pelancaran yang disiarkan secara langsung dari Istana Merdeka pada Isnin.
Danantara akan menguruskan tujuh syarikat berkaitan kerajaan utama, iaitu Perusahaan Listrik Negara, Pertamina dan PT Mineral Industri Indonesia dalam sektor tenaga dan industri; Telkom Indonesia dalam telekomunikasi; serta Bank Mandiri, Bank Negara Indonesia dan Bank Rakyat Indonesia dalam perbankan dan kewangan.
Beroperasi di bawah penyelarasan langsung presiden, Danantara diberi mandat untuk meningkatkan syarikat Indonesia ke dalam senarai Fortune 500, dengan matlamat jangka panjang menyumbang kepada Indonesia Emas 2045, visi negara bagi menjadi ekonomi maju.
Terdahulu, Prabowo berkata kerajaannya telah membuktikan komitmennya untuk mengurus kekayaan negara dengan disiplin kewangan yang ketat serta tadbir urus yang bertanggungjawab dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran.
“Kami telah berjaya memperoleh lebih 300 trilion rupiah, hampir US$20 bilion, dalam simpanan negara – dana yang sebelum ini terhalang akibat ketidakcekapan, rasuah dan perbelanjaan tidak berkesan.”
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial