DUNIA > BERITA

15 Anggota Polis Maut Dalam Serangan Senjata Api, Bom Di Barat Laut Pakistan

10/05/2026 07:07 PM

KARACHI, 10 Mei (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya 15 anggota polis terkorban dalam serangan menggunakan senjata apidan bom, antara yang terburuk dalam beberapa bulan kebelakangan ini, di barat laut Pakistan pada Sabtu malam, kata seorang pegawai kanan polis, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan pada Ahad.

Insiden itu berlaku di daerah Bannu, wilayah Khyber Pakhtunkhwa di barat laut Pakistan yang bersempadan dengan Afghanistan apabila seorang pengebom disyaki, merempuh pos pemeriksaan polis dengan kenderaan yang sarat dengan bahan letupan, lapor Dawn News.

Laporan itu menyebut serangan bom bunuh diri berkenaan diikuti dengan letupan dan tembakan yang dilancarkan oleh kumpulan pengganas yang dilengkapi senjata berat.

Ketua polis bandar Sajjad Khan memberitahu pemberita bahawa tiga lagi anggota polis turut cedera dalam pengeboman itu.

Susulan letupan itu, pengganas melepaskan tembakan hebat ke arah pos berkenaan dari pelbagai arah. Beberapa letupan turut kedengaran di kawasan itu sehingga mencetuskan ketakutan dan panik dalam kalangan penduduk tempatan, menurut laporan itu lagi.

Pasukan keselamatan melancarkan operasi balas, namun tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa dalam kalangan pengganas, menurut laporan itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Shehbaz Sharif mengecam insiden berkenaan dan mengarahkan pasukan keselamatan supaya bertindak habis-habisan bagi mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan, menurut kenyataan pejabat beliau.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan