EKONOMI > BERITA

OCBC MALAYSIA PELOPORI PEMBIAYAAN LESTARI ISLAM SULUNG BAGI PNB

05/06/2024 02:29 PM

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- OCBC Bank (Malaysia) Bhd berjaya mempelopori Kemudahan Pembiayaan Lestari Islam sulung bagi anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), PNB Jersey Ltd menerusi Kemudahan Pembiayaan Hijau Islam (kemudahan hijau) bernilai £210.0 (£1=RM5.99).

OCBC Malaysia adalah pengatur utama tunggal dan penasihat penstrukturan lestari bagi kemudahan hijau ini yang bertujuan membiayai kerja baik pulih hartanah pelaburan PNB yang terletak di One Exchange Square, 175 Bishopsgate, London.

Dalam kenyataan hari ini, katanya hartanah berkenaan merupakan sebuah menara pejabat yang telah direka bentuk untuk mendapatkan penarafan “Cemerlang” di bawah Kaedah Penilaian Alam Sekitar Badan Penyelidikan Bangunan (BREEAM) dengan sasaran penarafan 5 bintang Sistem Penarafan Alam Sekitar Binaan Australia Kebangsaan (NABERS) United Kingdom apabila siap kelak.

Usaha ini membuktikan komitmen PNB untuk melaksanakan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan melabur dalam aset hijau dan peralihan.

OCBC Malaysia berkata, selepas kerja baik pulih siap pada 2026, bangunan ini dijangka mencapai emisi karbon bersih sifar secara tergabung menerusi kecekapan tenaga, elektrifikasi dan penjanaan tenaga di lokasi.

Pengarah Urusan, Pegawai Bank Kanan dan Ketua Perbankan Pelaburannya Tan Ai Chin berkata,  kumpulan OCBC adalah institusi pembiayaan utama sedia ada yang menyokong PNB dalam pemerolehan hartanah.

“Selain struktur patuh Syariah, yang menyokong aspek mesra alam dalam kemudahan pembiayaan, usaha terpuji PNB untuk menyokong dan berbakti kepada masyarakat setempat sebagai sebahagian daripada pembangunan projek membuktikan komitmen kukuhnya kepada amalan ESG terbaik.

“Kerjasama dengan PNB membuktikan usaha berterusan OCBC Malaysia untuk terus menggiatkan penggunaan amalan terbaik lestari dan bertanggungjawab dalam kalangan rakan perniagaan kami untuk mencipta kesan sosial, alam sekitar dan ekonomi yang positif sambil menjamin masa depan yang lebih lestari,” kata Tan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan, Pelaburan Persendirian dan Strategik PNB Rick Ramli berkata kerja baik pulih hartanah adalah sebahagian penting daripada usaha PNB ke arah pelaburan dalam aset hijau dan peralihan

Beliau berkata PNB komited untuk memastikan peralihan secara beransur ke arah masa depan lebih hijau dan lestari untuk membina ketahanan jangka panjang, dalam persekitaran pelaburan global yang kian berubah.

“Kerjasama kami dengan OCBC Malaysia dalam pembiayaan lestari Islam sulung ini menunjukkan komitmen bersama kami untuk mewujudkan masa depan yang lebih bertanggungjawab kepada alam sekitar, terangkum dari segi sosial dan rendah karbon, bukan sahaja dalam negara malah di peringkat global,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan