EKONOMI > BERITA

REHDA AKAN PAMER 10,000 HARTANAH BERNILAI RM9 BILION DI MAPEX 2024

13/06/2024 04:08 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) merancang untuk mempamerkan 10,000 hartanah bernilai kira-kira RM9 bilion pada Pameran Hartanah Malaysia (MAPEX) 2024 dengan kerjasama Rehda Selangor dan Rehda Wilayah Persekutuan.

Naib Presidennya, Datuk Chan Kin Meng berkata, hartanah iyang akan dipamerkan itu berharga bermula sekitar RM300,000 hingga lebih RM1 juta, yang terdapat di seluruh kawasan Lembah Klang termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Cyberjaya, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

“Kami mempunyai hartanah kediaman, termasuk rumah bertanah dan bertingkat tinggi dengan rumah hak milik strata. Kami juga mempunyai lot kedai dan komersial yang tersedia, dan akan menawarkan pelbagai tawaran menarik (pada hari itu),” katanya pada sidang media mengenai MAPEX 2024, di sini hari ini.

Hampir 30 pempamer, yang terdiri daripada pemaju hartanah, institusi kewangan dan pihak berkuasa kerajaan mengesahkan penyertaan mereka dalam ekspo hartanah itu, yang akan berlangsung dari 21-23 Jun, 2024 di Pusat Pameran Mid Valley, Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur.

Senarai pempamer termasuk IJM Land Bhd, KLK Land, LBS Bina Group, Mah Sing Group Bhd, Matrix Concepts Holdings Bhd, OSK Property, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Sime Darby Property Bhd dan SkyWorld Development Bhd.

Sementara itu Chan dalam satu kenyataan berasingan berkata MAPEX 2024 akan dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, sambil menambah ekspo tiga hari itu dijangka menarik 30,000 pengunjung.

Selaras dengan aspirasi kerajaan ke arah kelestarian dalam sektor hartanah Malaysia, MAPEX 2024 akan menampilkan 'Seksyen Hijau' bagi mempamerkan projek-projek ikonik yang dianugerahkan pensijilan hijau oleh GreenRE Sdn Bhd.

“Kami berharap 'Seksyen Hijau' khas ini akan membantu mewujudkan kesedaran orang ramai terhadap pembangunan hartanah hijau dan mesra alam,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan