EKONOMI > BERITA

KTI LANDMARK KEKAL YAKIN DENGAN PASARAN HARTANAH SABAH

19/06/2024 02:45 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Pemaju hartanah bersepadu dari Sabah, KTI Landmark Bhd yakin dengan pasaran hartanah negeri itu, justeru, merancang lebih banyak lagi projek kediaman.

Pengarah Eksekutif Wilson Loke selepas penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia memberitahu media bahawa pemulihan semula dalam pelancongan turut memacu pasaran hartanah Sabah yang semakin berkembang.

KTI Landmark membuat penampilan sulung rata pada 30 sen di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini dengan 7.6 juta saham diniagakan semasa pembukaan.

Loke ketika mengulas mengenai harga saham syarikat yang rata ketika kemunculan kali pertamanya berkata ini tidak memberi kesan kepada syarikat kerana ia telah menunjukkan prestasi yang baik sejak beberapa tahun lalu.

"Kami melihat pasaran untuk jangka panjang... kami faham industri hartanah adalah sektor yang sangat mencabar tetapi syarikat kekal berdaya tahan sejak beberapa tahun lepas, jadi kami akan kekal teguh," katanya.

Syarikat itu melalui satu kenyataan menjelaskan bahawa ia telah mengumpul RM48 juta daripada pelaksanaan tawaran awam permulaannya bagi membiayai sebahagian pengambilalihan tanah untuk pembangunan berjumlah RM18 juta.

Daripada hasil itu, RM20.7 juta akan diperuntukkan sebagai modal kerja pembangunan projek dan RM0. 3 juta untuk menaik taraf perisian dan sistem.

"Sebanyak RM2.2 juta akan digunakan untuk menaik taraf serta mengembangkan kemudahan pembuat acuan atau sistem binaan industri (IBS) sedia ada, diikuti RM3 juta sebagai pembayaran balik pinjaman bank dan bakinya RM3.8 juta bagi perbelanjaan penyenaraiannya," katanya.

Pemaju hartanah itu sedang bersedia untuk melancarkan dua projek kediaman dengan gabungan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM599.6 juta menjelang 2028.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dr Gordon Loke berkata pelancaran akan datang ini merangkumi pelbagai tawaran termasuk tiga fasa rumah bertanah mampu milik di Sandakan termasuk pembangunan bercampur di Ayuria Place, Alamesra di Kota Kinabalu.

Tiga fasa rumah bertanah mampu milik di Sandakan, projek reka bentuk serta binaan dengan Lembaga Kemajuan Perumahan dan Bandar Sabah, terdiri daripada 310 rumah teres dua tingkat dengan anggaran GDV RM107.9 juta.

"Baki GDV RM491.7 juta dalam pembangunan bercampur, Ayuria Place, Alamesra akan menampilkan tiga blok 39 tingkat dengan 1,269 unit pangsapuri antara 650 kaki persegi dan 1,000 kaki persegi," katanya dalam satu kenyataan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan