EKONOMI > BERITA

BANK NEGARA ROMBAK DANA PKS, SELARAS IKUT KEPERLUAN - TIMBALAN GABENOR

13/06/2024 07:57 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) berhasrat merombak dana khusus disediakannya bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) agar dapat diselaraskan mengikut keperluan golongan itu.

Timbalan Gabenornya Datuk Jessica Chew berkata setakat ini hanya satu pertiga daripada peruntukan berjumlah RM1.5 bilion bagi Kemudahan Automasi dan Pendigitalan PKS (ADF) telah dimanfaatkan.

“(Oleh itu) kami dalam proses menyusun semula dari segi merangka semula dan pelaksanaan dana-dana PKS ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan bertajuk ‘Peranan Kewangan Dalam Melaksanakan Pembaharuan Struktur’ di Simposium Sasana 2024 anjuran BNM di sini, hari ini.

ADF yang diwujudkan pada Mac 2020 bertujuan menggalakkan PKS rentas sektor untuk bertindak mengautomasikan proses dan mendigitalkan operasi bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

Mengulas selanjutnya, Chew berkata sambutan kurang memberangsangkan bagi dana itu berkemungkinan disebabkan ia tidak sejajar dengan tumpuan PKS.

“Ada kemungkinan mereka tidak di landasan pendigitalan. Oleh itu, masih banyak yang perlu dilakukan dari segi bagaimana untuk melaraskan keperluan berkenaan bagi PKS,” katanya.

Pada masa sama, kata Chew, bank pusat itu sedang mengusahakan agar dana di bawah BNM dapat dimanfaatkan menerusi cara berbeza bagi meraih kesan pengganda lebih ketara menerusi gabungan beberapa kekangan maklumat selain menggunakan tokenisasi aset bagi tujuan cagaran.

Beliau juga menegaskan bahawa sebahagian besar daripada pembiayaan PKS itu adalah daripada bank-bank.

“Pembiayaan bank untuk PKS adalah kira-kira separuh daripada portfolio jumlah pembiayaan perniagaan bank. Ini demi kepentingan bank-bank untuk terus memberi kemudahan kepada PKS,” katanya. 

Bank pusat itu turut menawarkan Kemudahan Berteknologi Tinggi dan Hijau bernilai RM1.1 bilion untuk membantu PKS dan syarikat pemula niaga inovatif mengembangkan perniagaan selain melabur dalam sektor strategik serta bidang teknologi (teknologi digital, teknologi hijau dan bioteknologi) bagi memacu pemulihan ekonomi mampan dan kukuh.

Kemudahan Agro bagi meningkatkan pengeluaran makanan Malaysia dan eksport, pula ditingkatkan sebanyak RM500 juta pada 2023 dan menjadikan peruntukan berjumlah RM2.5 bilion.

Selain itu, Kemudahan Permodalan Semula Perniagaan (BRF) dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion, memberi sokongan kepada PKS untuk terus berkembang tanpa perlu menambah hutang ketika melalui fasa pemulihan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan