EKONOMI > BERITA

PEMAJU DIGESA SEPADU TEKNOLOGI, KEMAMPANAN DALAM ASPEK PEMBANGUNAN

14/06/2024 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Pemaju hartanah digesa untuk memberi tumpuan menyepadukan teknologi dan kemampanan ke dalam setiap aspek pembangunan hartanah.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata bandar pintar, yang dikuasakan oleh infrastruktur digital dan sumber tenaga mampan, akan menjadi ciri utama bagi kemajuan negara.

“Kita juga mesti mengutamakan penyelesaian rumah mampu milik untuk memastikan semua rakyat Malaysia mempunyai akses kepada ruang kediaman yang selamat dan selesa,” katanya pada majlis Anugerah Pemaju Hartanah ASEAN 2023/2024 yang dianjurkan oleh Des Prix Infinitus Media, di sini, malam tadi. 

Hanifah Hajar berkata pemaju juga digalakkan untuk menggunakan bahan yang lebih mampan, termasuk konkrit kitar semula, kayu tebus guna dan keluli kitar semula

“Faedah pembangunan hartanah mampan bukan hanya semata-mata untuk pemeliharaan alam sekitar sahaja kerana ia juga boleh menarik pelabur global yang semakin mengutamakan projek mesra alam.

"Bangunan hijau biasanya akan membawa kepada kos operasi lebih rendah, kualiti udara dalaman yang lebih baik dan memberi lebih keselesaan kepada penghuni," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Des Prix Infinitus Media Hagenz Choo berkata majlis anugerah itu menjadi pusat tumpuan bagi pelbagai bakat, inovasi dan kepakaran dengan penyertaan peserta dari negara-negara di rantau ASEAN.

“Pemaju merebut peluang untuk mempamerkan projek mereka, bertukar-tukar pandangan dan belajar daripada pengalaman antara satu sama lain, memperkayakan asas pengetahuan kolektif dan memacu peningkatan berterusan dalam industri.

"Kami percaya anugerah ini akan menjadi penghargaan yang amat bernilai kepada kemahiran luar biasa dan dedikasi utuh yang ditunjukkan oleh pemaju yang paling luar biasa dan bermotivasi," katanya.

Antara pemenang Anugerah Pemaju Hartanah ASEAN 2023/2024 ialah IOI Properties Group Bhd, IGB Bhd dan LBS Bina Group Bhd di bawah kategori Pemaju Terbaik.

Naim Holdings Bhd memenangi empat anugerah iaitu Pembangunan Gaya Hidup Berinspirasi Komuniti Terbaik, Pembangunan Perumahan Berpagar dan Berkawal Terbaik, Pembangunan Gaya Hidup Mewah Terbaik dan Pemaju Inovatif.

Teladan Group Bhd memenangi Pemaju Cemerlang di wilayah Selatan Malaysia, manakala "Pemaju Butik Terbaik" dimenangi Ideahome Development Sdn Bhd.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan