EKONOMI > BERITA

MAYBANK TERAJU SYARIKAT MALAYSIA DALAM SENARAI FORTUNE 500 ASIA TENGGARA

18/06/2024 03:54 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Malayan Banking Bhd menduduki tempat ke-17 dengan pendapatan sebanyak US$14.15 bilion (RM66.65 bilion), sekaligus menerajui syarikat-syarikat Malaysia dalam senarai Fortune 500 Asia Tenggara untuk 2024.

Majalah perniagaan global Amerika Syarikat (AS) itu menyatakan penarafan sulung tersebut menyaksikan Maybank mendahului 89 syarikat Malaysia dalam senarai berkenaan, manakala Singapura mempunyai penyenaraian 84 syarikat, Indonesia mendahului dengan 110, Thailand 107, Vietnam 70, Filipina 38 dan Kemboja hanya dua.

Dari segi pendapatan, firma komoditi yang berpangkalan di Singapura, Trafigura menduduki tempat pertama dalam senarai, mendominasi dengan jualan sebanyak $244 bilion. (US$1=RM4.71).

Sementara itu, antara 20 syarikat teratas mengikut keuntungan, tiga firma Malaysia berada dalam senarai iaitu Maybank di tempat ke-11, CIMB Group Holdings Bhd di tempat ke-17 dan Public Bank Bhd di tempat ke-19.

Menurut Fortune, sepuluh syarikat terbesar dalam senarai terkini itu melaporkan pendapatan sebanyak US$650 bilion, menyumbang lebih satu pertiga daripada jumlah hasil US$1.8 trilion untuk tahun fiskal 2023 merentas semua 500 syarikat di Asia Tenggara.

Pendapatan minimum ambang untuk dimasukkan dalam senarai ialah US$460.8 juta.

"Dengan hasil kolektif sebanyak US$242 bilion, perbankan merupakan sektor kedua terbesar di Asia Tenggara. 

"Ketaranya, sembilan bank adalah antara 20 syarikat paling menguntungkan, dengan DBS Singapura mendahului dalam hasil dan pendapatan," kata majalah itu.

Editor Eksekutif Fortune Asia, Clay Chandler berkata senarai Fortune 500 Asia Tenggara mencerminkan rantau yang dinamik serta pesat berubah, dengan ekonomi teras berkembang pantas berbanding Eropah atau AS.

"Ini sebahagiannya disebabkan oleh rantau ini yang mengambil kepentingan yang jauh lebih besar dalam ekonomi global memandangkan sebilangan besar syarikat multinasional Global 500 telah mengalihkan banyak rantaian bekalan mereka ke Asia Tenggara," katanya.

Dalam satu kenyataan berasingan, Mah Sing Group Bhd, yang tersenarai dalam Fortune 500 Asia Tenggara mengumumkan sasaran jualan lebih tinggi sekurang-kurangnya RM2.5 bilion untuk 2024.

"Mengekalkan momentum ini, kumpulan itu meraih RM992 juta dalam jualan hartanah baharu dalam tempoh lima bulan pertama 2024, meletakkan kami di landasan yang baik bagi mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan