EKONOMI > BERITA

PERMINTAAN & KETERSEDIAAN SUMBER, JOHOR PENUHI KRITERIA SEBAGAI HAB PUSAT DATA

22/06/2024 02:19 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Potensi Johor sebagai hab pusat data sebahagian besarnya didorong oleh lokasinya yang strategik berhampiran Singapura dan tawaran sumbernya dari segi tenaga, air, pengangkutan dan kawasan tanah yang sesuai, menurut Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Ketua Pemacu Industri Digital MDEC Wan Murdani Wan Mohamad menekankan apabila permintaan untuk lebih banyak kapasiti pusat data melebihi sumber di rantau berhampiran, syarikat global mula melihat wilayah luar -- ke Batam dan Jakarta di Indonesia, Filipina, Bangkok di Thailand dan Malaysia.

Beliau berkata Johor menawarkan penyelesaian lengkap kerana kedudukan geografinya, membolehkan syarikat memanfaatkan ekosistem digital Singapura yang kukuh di samping mendapat manfaat daripada keupayaan untuk berkembang di rantau ini.

“Kedekatan ini memastikan kependaman minimum dan kesambungan berkelajuan tinggi, yang penting untuk operasi pusat data.

“Faktor ini secara kolektif mewujudkan persekitaran yang menggalakkan untuk penubuhan dan pertumbuhan operasi pusat data, meletakkan Johor sebagai peserta utama dalam landskap pusat data serantau,” katanya kepada Bernama.

Beliau berpendapat peningkatan permintaan untuk kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan penstoran data memberikan peluang besar kepada Malaysia untuk maju dalam ekonomi digital.

“Memandangkan lebih banyak perniagaan beralih kepada perkhidmatan berasaskan awan dan memanfaatkan AI, keperluan untuk penyelesaian komputer boleh skala dan penstoran data akan memacu pelaburan seterusnya dalam pusat data, khususnya di lokasi strategik seperti Johor.

“Pelaburan ini akan menambah baik infrastruktur digital Malaysia dan menarik syarikat global yang mencari hab yang menjimatkan dari segi kos serta tersambung dengan baik,” katanya.

Wan Murdani berkata dalam menarik lebih banyak pelaburan, MDEC telah menjalinkan kerjasama rapat dengan pelbagai agensi persekutuan dan negeri seperti Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Invest Johor, JCorp, Plan Malaysia@Johor, dan Koridor Utiliti Johor (KUJ) -- bertujuan memperkemas dan meningkatkan pengalaman bagi pelabur sedia ada dan bakal pelabur.

“Menerusi kerjasama rapat ini, MDEC dan agensi ini memastikan permintaan dan keperluan pelabur ditangani dengan segera dan dipenuhi dengan berkesan,” katanya.

 

Ketersediaan Infrastruktur

 

Usaha menubuhkan pusat data di Johor akan meningkatkan permintaan untuk hartanah komersial dengan ketara, termasuk kemudahan baharu dan pengubahsuaian bangunan sedia ada.

Satu lagi tarikan utama untuk Johor berpotensi menjadi hab pusat data adalah ketersediaan infrastruktur tenaga dan air negeri untuk mengendalikan pusat data berskala besar.

Wan Murdani berkata MDEC telah menyediakan nasihat teknikal dan bantuan untuk kerajaan negeri, Tenaga Nasional Bhd (TNB), dan agensi penggalakan pelaburan sejak 2010 sebagai persediaan untuk pelaburan pusat data itu.

“Ketersediaan lokasi dengan infrastruktur tersedia di Johor seperti Taman Teknologi Sedenak (STeP), Taman Teknologi Nusajaya (NTP) serta Kluster Perindustrian dan Logistik Selatan (SILC) membolehkan pembangunan pesat kemudahan pusat data yang meluas tanpa kos yang tinggi didapati berrlaku di kawasan yang lebih padat penduduk.

“Selain itu, walaupun kos tenaga Malaysia adalah kompetitif namun, ketersediaan infrastruktur TNB untuk pusat data berskala besar yang membolehkan syarikat mempercepat rancangan pembinaan mereka, yang memainkan peranan utama,” katanya.

 

Tangani Kebimbangan mengenai Tenaga

 

Memandangkan pusat data dan infrastruktur digital menggunakan tenaga yang tinggi, penekanan akan semakin meningkat untuk membangunkan penyelesaian tenaga boleh baharu mesra alam.

Pelaburan dalam sumber tenaga boleh baharu, teknologi cekap tenaga dan amalan mampan akan memastikan pertumbuhan ekonomi digital sejajar dengan matlamat alam sekitar, meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam pembangunan teknologi dan kemampanan.

Wan Murdani berkata Malaysia telah meluluskan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga, yang bertujuan memastikan industri berintensifkan tenaga termasuk pusat data, dikendalikan untuk memaksimumkan kecekapan tenaga sebanyak mungkin.

Beliau berkata MDEC telah memudahkan kerjasama antara Suruhanjaya Tenaga dan industri.

Mengikut Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dasar dan insentif dirangka untuk menggalakkan penggunaan sumber tenaga boleh baharu seperti tenaga solar, angin dan hidroelektrik.

“Inisiatif ini penting dalam mengurangkan jejak karbon industri, termasuk pusat data, yang merupakan pengguna tenaga yang tinggi.

“Memandangkan pusat data sebagai pembeli terjamin untuk tenaga boleh baharu, sektor tenaga boleh baharu boleh yakin bahawa pelaburan mereka akan berdaya maju dengan risiko perniagaan yang rendah, dan ini merupakan faktor penting dalam mengembangkan bahagian bekalan untuk tenaga boleh baharu,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan