EKONOMI > BERITA

PNB BAYAR AGIHAN PENDAPATAN BERJUMLAH RM13.3 BILION BAGI TAHUN KEWANGAN 2023

25/06/2024 06:14 PM

KUALA LUMPUR, June 25 (Bernama) -- Permodalan Nasional Berhad (PNB) membayar agihan pendapatan dan bonus berjumlah RM13.3 bilion kepada pemegang unitnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2023, lebih tinggi berbanding RM12.2 bilion yang diagihkan tahun sebelumnya.

Syarikat pengurusan dana itu juga melaporkan bahawa agihan pendapatan terkumpul yang dibayar sejak penubuhannya pada 1978 berjumlah RM249.2 bilion pada tahun kewangan 2023 berbanding RM235.8 bilion pada tahun kewangan 2022.

Pencapaian prestasi PNB ini terkandung dalam Laporan Tahunan Bersepadunya bagi tahun kewangan 2023 yang dikeluarkan hari ini.

Pengerusi kumpulan PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata pencapaian ini sebahagian besarnya disumbang oleh usaha perumpukan aset strategik dan kepelbagaian kami merentas pelbagai kelas aset.

“Kami meningkatkan kestabilan portfolio kami dengan menambah pelaburan dalam pendapatan tetap, hartanah, pasaran persendirian dan aset asing.

“Langkah-langkah ini bukan sahaja melindungi kami daripada turun naik pasaran tetapi juga memastikan kami terus menghasilkan pulangan positif untuk pemegang unit kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi  tahun kewangan 2023, PNB menghasilkan pulangan memberangsangkan merentas portfolio produk terdiri daripada 17 dana, terutamanya melalui dana harga tetap dan berubah-ubah.

“Kenaikan had pelaburan individu untuk Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan peningkatan saiz dana Amanah Saham Malaysia (ASM) mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 780,000 pemegang unit mengambil peluang meningkatkan simpanan mereka.

“Secara keseluruhan, perkembangan ini menghasilkan jualan tambahan sebanyak RM6.8 bilion bagi ketiga-tiga dana tersebut,” katanya.

Bagi tahun kewangan 2023, PNB mencatatkan peningkatan pendapatan kasar dan pendapatan bersih masing-masing sebanyak 13 peratus dan 25 peratus daripada RM14.5 bilion pada  tahun kewangan 2022 kepada RM16.4 bilion pada tahun kewangan 2023, dan daripada RM10.4 bilion pada tahun kewangan 2022 kepada RM13.0 bilion pada tahun kewangan 2023.

Mengenai prospek masa depan, beliau berkata PNB mengambil pendekatan berhati-hati namun optimis bagi unjuran tahun 2024. Pelan ekonomi utama yang disokong oleh rangka kerja Ekonomi MADANI dijangka merangsang pertumbuhan dengan meningkatkan penggunaan domestik dan menarik pelaburan baharu

“Landskap global terus berkembang dengan perubahan pesat dan cabaran yang tidak dijangka.

“Dalam persekitaran ini, komitmen PNB kekal kukuh: untuk mencari dan merebut peluang pelaburan baharu yang boleh memberi pulangan mampan kepada pemegang unit, sambil memastikan pelaburan mereka selamat sepenuhnya,” katanya.

Menurut kumpulan itu, Strategi Kumpulan PNB yang baharu bagi 2024-2026 adalah tinggi dan boleh dicapai, dirangka untuk memastikan ia kekal sebagai organisasi yang progresif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan