EKONOMI > BERITA

GCC, MALAYSIA, INDONESIA DAN TURKIYE PENERAJU PENERBIT HUTANG EM - FITCH

26/06/2024 12:02 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Kalangan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Malaysia, Indonesia dan Turkiye semakin ketara sebagai peneraju penerbit hutang pasaran sedang pesat membangun (EM), kata Fitch Ratings.

Agensi penarafan kredit itu berkata dalam tempoh lima bulan pertama 2024, kelompok negara-negara berkenaan telah menyumbang sebanyak 51 peratus daripada semua hutang dalam dolar Amerika Syarikat (AS) yang dikeluarkan oleh EM (tidak termasuk China).

"Kami menjangkakan pertumbuhan ini akan berterusan pada 2024-2025, didorong oleh inisiatif-inisiatif kerajaan dalam membangunkan pasaran modal hutang (DCM), mempelbagaikan sumber pembiayaan, membiayai defisit fiskal, projek kerajaan serta hutang yang matang.

“Sukuk yag turut berperanan sebagai mekanisme pembiayaan dan dasar utama, pula menyumbang sebanyak 12.4 peratus daripada semua hutang dalam dolar di EM yang diterbitkan setakat ini pada 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Fitch menekankan bahawa penyertaan GCC, Malaysia, Turkiye dan Indonesia dalam indeks bon global, turut menyokong permintaan bon dolar daripada kalangan pelabur antarabangsa.

Di Malaysia, sukuk merupakan majoriti terbitan DCM domestik pada tahap 60 peratus berbanding masing-masing 56 peratus di Arab Saudi dan 55.3 peratus di Indonesia selain kekal penting di negara lain.

Fitch juga menyifatkan Belanjawan 2024 Malaysia yang menjadi belanjawan ‘pengembangan’ kecil, akan terus memacu pertumbuhan DCM dengan beberapa inisiatif pembangunan dirancang di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan