EKONOMI > BERITA

PETRONAS BERI KONTRAK DRO KLUSTER NBE DI SABAH KEPADA VESTIGO

27/06/2024 07:25 PM

KOTA KINABALU, 27 Jun (Bernama) -- Petronas telah memeterai kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) aset medan kecil (SFA) dengan Vestigo Petroleum Sdn Bhd untuk kluster Peluang Sumber Ditemui (DRO) di Sabah.

Kluster itu yang terletak di luar pantai Sabah, kebanyakannya kluster penemuan gas, terdiri daripada medan Nosong, Bongawan Utara dan Epidot atau kluster NBE.

Petronas melalui satu kenyataan hari ini berkata, anugerah ini, di bawah Malaysia Bid Round Plus (MBR+), menandakan kejayaan sulung PSC di Sabah.

Menerusinya subsidiarinya, Malaysia Petroleum Management (MPM), syarikat minyak negara itu telah  menandatangani kontrak dengan Vestigo, anak syarikat milik penuh Petronas Carigali Sdn Bhd, sempena Persidangan dan Pameran Minyak dan Gas Sabah di sini hari ini.

Petronas diwakili oleh Naib Presiden Kanan MPM Datuk Bacho Pilong, manakala Vestigo oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Khairul Azhar Abu Bakar.

Majlis itu turut disaksikan oleh Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

“Sabah mengalu-alukan pengendali yang berkebolehan seperti Vestigo untuk meneroka, melabur serta membangunkan sumber minyak dan gas negeri.

“Pada masa yang sama, kami komited untuk memupuk pertumbuhan syarikat perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas tempatan di Sabah selain menggalakkan kerjasama yang akan meningkatkan penyertaan syarikat Sabah yang berkelayakan dalam industri,” kata Masidi.

Bacho berkata PSC ini menandakan hasil kejayaan kitaran MBR+ yang diperkenalkan Oktober lalu. 

Beliau berkata MBR+ menyediakan saluran tambahan kepada pelabur bagi meneroka termasuk memperoleh DRO serta Aset Hayat Lewat (LLA) yang tersedia di Malaysia melangkaui MBR tahunan dengan menggunakan dan menilai maklumat yang disediakan melalui Petronas myPROdata.

“Kami akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah dalam mengemudi iklim dan ekosistem pelaburan yang cergas, yang agak penting dalam menyokong komuniti serta pemain tempatan Sabah untuk terus maju dalam industri ini,” kata Bacho.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan