EKONOMI > BERITA

PETRONAS LANCAR PROTOUGH+ PERCEPAT PENYELESAIAN RENDAH KARBON DALAM PEMBUATAN KOMPONEN

21/06/2024 05:00 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) melancarkan penyelesaian berasaskan grafin ketiganya, ProTough+, bagi meneroka peluang pertumbuhan baharu seiring dengan Strategi Peralihan Tenaga syarikat itu.

ProTough+ merupakan bahan tambahan yang mampu meningkatkan kekuatan bahan komposit dengan menambah baik sifat mekanikalnya untuk mengurangkan berat komponen, yang menjadi kunci dalam pembuatan dan penyampaian penyelesaian karbon rendah seperti mobiliti hidrogen.

Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas memaklumkan bahawa ProTough+ telah menunjukkan keupayaan meningkatkan polimer bertetulang gentian karbon sehingga 35 peratus dalam ujian kekuatan baru-baru ini.

"Penemuan ini membolehkan bahagian komposit yang lebih kuat dihasilkan dengan bahan yang lebih sedikit, sekali gus menyokong fabrikasi produk yang lebih ringan dan lebih menjimatkan," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Technology Ventures Sdn Bhd (PTVSB) Dr Mahpuzah Abai berkata pembangunan ProTough+ itu menunjukkan komitmen Petronas untuk menyediakan penyelesaian yang lebih baik bagi meningkatkan operasi, menangani masalah perniagaan dan mencipta nilai ke arah menyokong amalan kemampanan.

Sementara itu, semasa pelancaran ProTough+ di Pameran Bahan Termaju di Birmingham, United Kingdom, PTVSB dan HyPerComp Engineering Inc. telah menandatangani perjanjian untuk menjalankan ujian prestasi tambahan bagi potensi penggunaan penyelesaian itu.

Di bawah perjanjian pembangunan bersama, kedua-dua pihak akan mengkaji untuk menggabungkan ProTough+ ke dalam proses pembuatan composite overwrapped pressure vessels (COPV). 

“Kami berharap dapat menyediakan penyelesaian perniagaan dengan teknologi dan inovasi melalui kerjasama strategik kami dengan HyPerComp Engineering.

“Kami yakin hasil pembangunan bersama ini akan menawarkan kelebihan daya saing yang memenuhi keperluan pemegang kepentingan dan pelanggan kami,” kata Mahpuzah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan