EKONOMI > BERITA

NEXV MANUFACTURING METERAI MOA PENGELUARAN KENDERAAN TENAGA BAHARU

25/06/2024 08:50 PM

CYBERJAYA, 25 Jun (Bernama) -- NexV Manufacturing Sdn Bhd (NMSB) telah memeterai dua memorandum utama dengan pihak berkepentingan automotif membabitkan pengeluaran serta pemasangan kenderaan elektrik di peringkat tempatan.

Perkembangan itu merupakan satu pencapaian bermakna sejak syarikat berkenaan mengorak langkah membangunkan kilang pengeluaran kenderaan tenaga baharu (NEV) di Chembong, Negeri Sembilan pada Januari 2024.

Pengerusi NMSB Datuk SM Azli SM Nasimuddin Kamal berkata dokumen pertama membabitkan memorandum perjanjian (MoA) antara syarikat itu dengan lima vendor Tahap Sifar (T0) iaitu PHN Industry Sdn Bhd, Hicom Teck See Manufacturing Malaysia Sdn Bhd, Noble Star Parts Sdn Bhd, Evan Karl Holdings Sdn Bhd dan KNR Biz Solution Sdn Bhd.

Turut dimeterai adalah perjanjian dengan dua pengedar iaitu Central Auto Distributors Bhd yang juga anak syarikat Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) selain Wise Star Assets Sdn Bhd yang menyaksikan NMSB berperanan sebagai pemasang secara kontrak, termasuk bagi Dongfeng NEV serta bas elektrik Skywell.

Mengulas MoA dengan vendor T0, beliau berkata vendor terbabit beroperasi menerusi konsep ‘kilang dalam kilang’ iaitu penghasilan komponen atau sistem tertentu berkaitan operasi, tenaga kerja dan pengurusan yang melibatkan ekosistem lebih luas daripada proses pengeluaran pemasangan lengkap kenderaan.

“Konsep ini membolehkan pengurusan lebih cekap membabitkan proses pemasangan serta aliran bahan.

“Ini juga membantu syarikat mendapatkan bahan serta komponen dalam sistem pengurusan tepat pada masanya (JIT) dengan kadar inventori minimum bagi bahan atau keperluan kritikal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian yang turut dihadiri oleh Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Faizal Mohd Yusof di Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, SM Azli berkata lebih banyak vendor T0 akan dilantik sebaik pihaknya menyelesaikan fasa kedua dan ketiga pembinaan berkaitan.

Malah, kelompok vendor T0 itu akan meningkatkan keupayaan serta teknologi vendor sedia ada.

“Sebagai contoh, satu vendor berkemungkinan mempunyai kemahiran dalam komponen khusus dan mereka mampu meningkatkan kepakaran bagi keseluruhan sistem komponen vendor T0.

“Sehubungan itu, kejayaan kami dalam kilang NEV itu amat bergantung kepada kerjasama dengan vendor-vendor T0 yang membekalkan komponen serta teknologi penting yang menjadi nadi produk NEV kami,” katanya.

SM Azli berkata sejajar usaha menggalakkan pertumbuhan industri, NMSB turut bekerjasama dengan Institut Kemahiran Tinggi Negara Chembong bagi kemahiran dalam teknologi NEV, sekali gus memastikan tenaga kerja yang mencukupi untuk kemajuan industri.

Kilang NMSB terletak di kawasan seluas 29.67 hektar di Kawasan Perindustrian Chembong di Rembau, Negeri Sembilan yang bakal menjadi teras operasi syarikat itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan