EKONOMI > BERITA

AIR SELANGOR CATAT PENDAPATAN RM2.82 BILION PADA 2023

27/06/2024 07:56 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mencatatkan pendapatan sebanyak RM2.82 bilion pada 2023, meningkat 15.1 peratus daripada RM2.45 bilion dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Abas Abdullah berkata peningkatan tersebut adalah hasil daripada pelbagai pendapatan operasi Air Selangor.

Katanya Air Selangor akan terus melabur dalam pengurusan dan pentadbiran bekalan air dalam jangka masa panjang untuk 9.3 juta penggunanya di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya apabila pelarasan tarif yang sesuai dan holistik dapat memastikan peningkatan kualiti perkhidmatan secara berterusan.

“Air Selangor mencatatkan perbelanjaan modal (CAPEX) sebanyak RM0.56 bilion pada 2023 berbanding RM2.68 bilion pada 2022, yang sebahagian besar telah dibelanjakan untuk projek Skim Bekalan Air Rasau Peringkat 1 pada 2022 (RM1.97 bilion).

“Selepas dilaraskan bagi tahun 2023, terdapat peningkatan sebanyak 18.8 peratus dalam CAPEX berbanding RM467.99 juta pada 2022 (tidak termasuk Rasau),” katanya pada sidang media sempena terbitan Laporan Kelestarian 2023 Air Selangor hari ini.

Abas berkata sehingga 31 Dis tahun lepas, Air Selangor telah melaksanakan enam penerbitan Sukuk Kelestarian, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.13 bilion sejak penerbitan pertama pada 29 Okt 2021.

Beliau berkata Sukuk Kelestarian diperuntukkan bagi melaksanakan projek-projek berkaitan bekalan air, pengurusan air lestari dan inisiatif tenaga boleh baharu.

“Ini termasuk pembangunan kemudahan rawatan air baharu, penyenggaraan kemudahan sedia ada, program penggantian paip dan projek Tenaga Boleh Baharu untuk Air (RENEW),” katanya.

Laporan Kelestarian 2023 yang diterbitkan hari ini menggariskan inisiatif dan rekod pencapaian Air Selangor bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Dis 2023 serta komitmen dalam mengukuhkan jaminan sekuriti air di peringkat serantau dan tempatan melalui amalan kelestarian dan kecekapan operasi.

Abas berkata usaha tersebut selaras dengan aspirasi Air Selangor untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di Asia menjelang 2030.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan